DAP Terus Gempur Keningau, AJK UMNO Liawan Letak Jawatan

KENINGAU: DAP semakin mengukuhkan kedudukannya di Parlimen Keningau apabila satu lagi cawangan penaja DAP Kauran dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan ditubuhkan.

Kampung Kauran dikenali sebagai antara kubu terkuat UMNO di DUN Liawan kini telah dibolosi oleh DAP melalui usaha gigih Unit Gempur DAP DUN Liawan.

Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt beramah mesra dengan penduduk kampung.

Majlis pelancaran bertempat di perkarangan kediaman Ismail Akok, Kampung Kauran itu dirasmikan oleh Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt bersama Pengerusi DAP Keningau, Peter Saili, Penyelaras DAP DUN Liawan Albert Malintau dan kepimpinan DAP Sabah.

Ismail Akok, dalam majlis itu juga mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO DUN Liawan sekaligus mengisytiharkan keluar UMNO dan menyertai DAP.

Menurut Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong, penubuhan Cawangan Penaja DAP Kauran adalah bukti kukuh bahawa masyarakat di kawasan pedalaman khususnya masyarakat Islam menerima baik perjuangan DAP.

“Ini adalah bukti perjuangan DAP tidak memilih agama, bangsa, jantina dan warna kulit,” kata beliau.

Cawangan baharu DAP di Kampung Kauran, Liawan.

Penyelaras DAP DUN Liawan, Albert J Malintau dalam ucapannya berkata, Kampung Kauran adalah tapak dan kubu kuat USNO (sebelum UMNO masuk ke Sabah) dan kemudian kubu kuat UMNO.

“UMNO bukanlah sebuah parti yang mudah ditangani, oleh itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 yang bakal tiba, pihak UMNO telah menyatakan bahawa kemenangan harus dicapai ‘by hook or by crook’.

“UMNO juga telah melaksanakan agenda-agenda yang berupa perang psikologi atau propaganda seperti menjinakkan PAS, memainkan sentimen perkauman untuk menolak DAP, menggunakan sentimen agama untuk menyemai kebencian, menggunakan badan-badan NGO pro-UMNO untuk memburuk-burukkan pembangkang, menggunakan isu keselamatan untuk meraih simpati rakyat,” katanya.

Selain itu, Albert berkata UMNO juga menggunakan taktik memindahkan pengundi dan menambahkan jumlah pengundi, mengaplikasikan kaedah 3M iaitu Money (membeli undi ketika pilihanraya), Media (untuk memesongkan fakta, mengalih isu dan menutup penyelewengan), Machinery (jentera kerajaan).

Majlis turut memberikan sumbangan untuk mangsa bencana kebakaran yang berlaku baru-baru ini di kampung itu kepada Andy Sabinus yang disampaikan oleh Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong.

Selain itu, seramai 10 orang yang terdiri daripada warga emas dan ibu tunggal turut meneruma sumbangan ikhlas yang di sampaikan oleh Pengerusi DAP Keningau, Peter Saili. – Roketkini.com