DAP Sabah Yakin PH Tunai Janji Iktiraf UEC

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: DAP Sabah yakin Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akhirnya akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) selepas lima negeri termasuk Sabah telah melakukannya.

Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, berita baik itu pasti akan diumumkan bagi menepati janji PH dalam Pilihan Raya Umum Ke -14 (PRU14).

“Selepas banyak negeri menjelaskan kedudukan mereka mengiktiraf UEC, saya yakin Kerajaan Persekutuan juga akhirnya akan melakukannya untuk bersama-sama mengumumkan berita baik serta menunaikan janji PRU14,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Sabah menjadi negeri kelima selepas Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Sarawak yang mengiktiraf UEC.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika mengumumkan perkara itu berkata, UEC akan diterima sebagai syarat kemasukkan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Sabah dan sektor perkhidmatan awam negeri ini.

Jin Zhe berkata, pengumuman tersebut adalah berita gembira kepada masyarakat Cina di Sabah terutama yang mengambil UEC kerana mereka berpeluang bekerja dalam sektor awam asalkan menepati syarat ditetapkan.

“Sebagai lepas sekolah Cina yang kini berada dalam Kahinet Sabah, saya secara ikhlas mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana mendengar suara kaum Cina termasuk golongan belia.

“DAP Sabah juga ingin menyampaikan penghargaan kepada beliau kerana mengambil langkah penting dalam hal ini serta mengetuai episod baharu politik Malaysia,” katanya.

Katanya, sebelum ini, seolah-olah tiada harapan untuk kaum Cina melihat UEC diiktiraf, namun sejak Parti Warisan Sabah (Warisan) memerintah Sabah, Mohd. Shafie bukan sahaja mengiktirafnya tetapi turut menyediakan dana kepada sekolah-sekolah Cina.

Tambahnya, pekerjaan dalam sektor awam negeri kini terbuka kepada pelajar lepasan UEC seterusnya menyediakan lebih banyak peluang kerjaya kepada belia Cina.

“Saya pasti perkara ini akan memberikan keyakinan kepada semua lepas UEC di seluruh dunia untuk balik ke Sabah dan berkhidmat di negeri ini,” kata beliau.

BERITA BERKAITAN :-

UEC Graduates Can Now Come Back To Serve In Sabah Civil Service