Setiausaha DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, keputusan itu diambil setelah kepimpinan DAP negeri sebulat suara tidak akan menyertai perbincangan mengenai agenda reform berkenaan.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat kepimpinan DAP Sabah pada dua minggu lalu.
“Dalam mesyuarat itu, kami berbincang sama ada patut sertai Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk menyertai perbincangan mengenai perjanjian persefahaman (MoU) atau agenda reform dengan kerajaan negeri.
“Kami membuat keputusan secara sebulat suara untuk tidak menyertai sebarang kerjasama atau agenda reform dengan kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media kelmarin.
Menurutnya, mereka membuat keputusan itu setelah mengambil kira situasi politik di Sabah sudah cukup stabil dan tidak memerlukan kerjasama antara pembangkang dan kerajaan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang berkata, melihat situasi politik semasa di Sabah, kedudukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah cukup kukuh dengan majoriti yang besar jadi, tidak perlu membentuk kerjasama untuk kestabilan politik.
Situasi Sabah berbeza dengan persekutuan yang sehingga sekarang masih belum stabil biarpun selepas pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Jin Zhe turut menafikan keputusan mengadakan kerjasama pembangkang dan kerajaan negeri itu dibuat atas inisiatif DAP Sabah.
Beliau turut menafikan laporan media yang menyatakan DAP Sabah adalah pihak yang mencadangkan MoU atau agenda reform tersebut.
Pada 15 November lalu, PH Sabah mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri bagi mengemukakan agenda reform yang mengandungi tujuh syor untuk membentuk kerjasama antara pembangkang dan kerajaan GRS.