DAP Sabah Mahu Cadangan PM Dari Sabah Diteruskan

KOTA KINABALU: DAP Sabah mempertahankan keputusannya sebelum ini dengan menegaskan bahawa sudah tiba masanya Perdana Menteri dipilih daripada rakyat Malaysia Timur.

Dalam kenyataan bersama mereka hari ini, Ahli Parlimennya termasuk Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon berkata, mereka menghormati keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sebelum ini untuk  mengesahkan semula komitmen memilih Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon gabungan itu.

Bagaimanapun, mereka mengingatkan pemimpin PH untuk tidak menolak sepenuhnya peluang rakyat Malaysia Timur daripada tampil untuk memimpin negara ini, dengan menambah bahawa keputusan memilih Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menjadi calon jawatan itu, harus tetap terbuka.

“Ketika kita terima dan hormati keputusan hari ini, kami mahu mengulangi sekali lagi bahawa tiada apa-apa yang menghentikan pemimpin dari Malaysia Timur daripada menjadi perdana menteri seperti juga dengan mana-mana Ahli Parlimen yang sama-sama layak untuk dicalonkan memegang jawatan itu,” kata mereka.

“Shafie, sebagai Ketua Menteri berjaya menyatukan rakyat daripada pelbagai bangsa dan agama di Sabah dengan menyediakan persekitaran yang baik, di mana mereka yang berlatar belakangkan budaya dan fahaman yang berbeza dapat membantu di antara satu dengan yang lain.

“Beliau lebih daripada layak untuk menjadi Perdana Menteri Persekutuan Malaysia. Kami percaya, pemilihan Shafie sebagai calon PM patut kekal terbuka selagi Sabah kekal sebahagian daripada Malaysia,” kata mereka.

Selain mengekalkan rancangan asal, Majlis Presiden PH berkata, mereka juga membincangkan saranan bagi Shafie untuk dijadikan calon untuk jawatan perdana menteri.

“Majlis presiden percaya semua usaha untuk memulihkan mandat rakyat mestilah dilakukan dan ini memerlukan sokongan semua pihak,” kata mereka dalam satu kenyataan.

“Oleh itu, majlis presiden memberikan mandat sepenuhnya kepada Anwar untuk terus berbincang dengan semua parti termasuk dengan Sharie untuk tujuan ini.”

DAP Sabah hari ini mengingatkan majlis akan kesetiaan Shafie kepada PH walaupun berada ditengah-tengah kemelut politik.

“Adalah penting bagi pemimpin PH untuk tahu dan sedar siapa kawan dan siapa lawan. Sejak dari mula, Shafie dan parti pimpinannya Warisan, berdiri bersama dengan PH dalam keadaan susah dan senang,” kata mereka.

Pemimpin DAP Sabah itu juga menambah bahawa mereka kekal memberi sokongan kepada rakyat Malaysia Timur sebagai perdana menteri kerana sebelum ini belum ada yang memegang tampuk itu dari sini.

“Kerajaan Persekutuan sebelum ini terdiri daripada bukan sahaja parti-parti PH (PPBM, DAP, PKR, Amanah) tetapi juga parti-parti dari Malaysia Timur, terutama parti Warisan dan UPKO.

Tidak ada gabungan politik boleh memerintah negara ini tanpa sokongan daripada rakyat Malaysia Timur, tambah mereka.