DAP Perkukuh Kedudukan Di Keningau

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KENINGAU: Parti Tindakan Demokratik (DAP) terus mengukuhkan kedudukan di kawasan Keningau dengan penubuhan tiga lagi cawangan baharu, hari ini.

Pemangku Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon berkata, penubuhan cawangan baharu itu akan memberi kekuatan tambahan kepada DAP untuk terus berdiri teguh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau yakin, kekuatan jentera dan sokongan akar umbi terhadap DAP di Keningau dan Bingkor akan bertambah dalam PRN Sabah ke-16 ini.

Frankie berkata, jika dilihat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, calon DAP Peter Saili hanya kekurangan 319 undi sahaja kepada pihak lawan.

“Kita percaya dalam PRN Sabah kali ini, calon DAP bagi DUN Bingkor akan mendapat lebih banyak undi.

“Kita hanya kalah tipis sahaja dalam PRU-14 dan berdasarkan analisis keputusan yang dibuat, DAP turut mendapat sokongan daripada semua pengundi terutama pengundi Kadazan Dusun dan Murut di DUN Bingkor,” katanya semasa melawat kawasan Bingkor, di sini hari.

Katanya, DAP sudah lama bertapak di Bingkor iaitu sejak tujuh tahun lalu. Diharap dalam PRN kali ini, akar umbi dan pimpinan parti akan terus berjuang dalam memastikan kemenangan berpihak kepada DAP dan rakan sekutu lain.