Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata kerajaan negeri hendaklah menyalurkan bantuan itu kepada PMKS yang layak bagi membantu mereka mengatasi kesan pandemik COVID-19 meskipun terpaksa berdepan kebimbangan didakwa membeli undi.
“DAP tidak akan kompelin jika kerajaan negeri mengeluarkan dana itu semasa tempoh kempen pilihan raya kali ini.
“Jika anda memberikan dana RM10,000 seperti yang dijanjikan kepada PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) serta RM3,000 kepada peniaga mikro sepanjang tempoh kempen ini, DAP tidak akan membangkitkan sebarang bantahan atau dakwaan berhubung pembelian undi,” katanya kepada media hari ini.
Kerajaan Negeri Sarawak mengumumkan BKSS 7.0 iaitu bantuan khas kewangan sekali beri sebanyak RM10,000 kepada PKS dan BKSS 7.0+ sebanyak RM3,000 kepada perusahaan mikro yang aktif di negeri itu bagi memperkukuh aktiviti dalam sektor perusahaan dan perniagaan.
Bantuan khas itu dijangka dibayar pada Disember 2021. – Bernama