DAP Bukan Parti ‘Tin Kosong’; Raikan Dua Lagi Projek Graviti Air Di Sook

Lim Kit Siang berucap ketika majlis perasmian itu baru baru ini. Disebelah dia adalah Stephen Wong.

Oleh FADILAH MICHAEL
SOOK: Dua lagi Projek Sistem Agihan Air Graviti oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) dilancarkan baru baru ini di Kampung Magatang dan Kampung Molosok, Dalit.

Projek yang telah siap sepenuhnya ini bakal menyelesaikan masalah air dan memberi manfaat kepada penduduk seramai lebih dari 1,500 orang dari dua buah kampung ini yang telah berlarutan lebih dari 15 tahun.

Stephen Wong, Ahli Parlimen Sandakan memberitahu bahawa usaha DAP membantu membina keperluan asas ini membuktikan komitmen dan keperihatinan DAP dalam memastikan semua rakyat menikmati kemudahan keperluan asas ini.

Beliau turut meluahkan rasa kesal dengan kegagalan kerajaan BN dalam menangani isu keperluan asas dan membiarkan penduduk di kawasan Pedalaman terabai dari menikmati pembangunan setara dengan kawasan bandar.

DAP, katanya, belum lagi menjadi kerajaan tetapi telah pun menunjukkan kemampuan dalam mengurus dan mencari jalan penyelesaian untuk permasalahan keperluan asas ini.

Projek Graviti Air kampung Magatang yang menelan belanja kurang dari 30 ribu ringgit ini, memanfaatkan lebih daripada 1,000 orang penduduk ini siap dalam tempoh dua hari hasil dari kesepakatan dan kerjasama erat penduduk kampong, manakala Projek Graviti Air di kampung Molosok pula dimulakan pada bulan Ogos tahun ini.

Permohonan dari penduduk kampung untuk pembinaan graviti air sebelum ini telah diajukan kepada ADUN Kawasan pada tahun 2016 tetapi tidak dapat dilaksanakan dengan alasan kos RM1.5 juta selain daripada kedudukan punca air yang jauh.

Terdesak dengan masalah keperluan air bersih, penduduk kampung telah memohon kepada DAP Pensiangan untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Bersama dengan Impian Malaysia, DAP Pensiangan membawa inovasi pembangunan solar sebagai penyelesaian.

Ia merupakan projek pertama seumpamanya dibina melalui cetusan idea Penyelaras DAP Pensiangan, Adrian Lasimbang menerusi pengalaman dan kepakaran beliau dalam pengurusan sistem mikro hidro dengan kos kurang dari RM 90,000.

“Projek Sistem Solar Pump Agihan Air Graviti ini merupakan satu projek penyelesaian untuk permasalahan air bersih yang sepatutnya boleh digunapakai oleh kerajaan sendiri dalam mencari alternatif lain untuk menyelesaikan masalah seperti di kampung Molosok.

“Dengan kapasiti dana dan kemampuan teknologi kerajaan ianya bukan satu projek mega yang tidak mampu dilaksanakan.

Adrian Lasimbang, kanan.

“Malahan jika difikirkan, nilai 1.5 juta untuk pembangunan projek graviti air bukanlah satu jumlah yang besar berbanding dengan bajet sebanyak 1.5 bilion ringgit yang diperuntukan oleh kerajaan untuk pembangunan luar bandar di Sabah.” Beritahu Adrian.

Terdahulu Adrian menyelar sikap wakil rakyat yang mempergunakan masalah rakyat dan bantuan kerajaan sebagai ugutan untuk memastikan sokongan rakyat terhadap Parti mereka.

Ianya berikutan cubaan sabotaj program khidmat masyarakat DAP Pensiangan bersama Impian Malaysia di Sinua, Sook dimana lokasi asal terpaksa dipindahkan pada saat-saat akhir.

“Pemberian zink dan tangki biru oleh kerajaan sudah tidak lagi relevan dimasa kini. Setelah lebih 50 tahun dibawah pemerintahan kerajaan yang sama, pemberian bantuan ‘one stop’ dan tidak adil ini adalah bukti kegagalan wakil rakyat dan kerajaan dalam menangani isu keperluan asas dan pembangunan ekonomi rakyat khususnya di kawasan Pedalaman”.

Adrian turut menyeru kepada seluruh rakyat Sabah untuk membuat pilihan bijak dan berani membuat perubahan.

“Kerajaan adalah mandat daripada rakyat. Apa yang dilakukan dan diberikan oleh kerajaan haruslah mewakili kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Bukan dijadikan bahan ugutan dan alat sokongan untuk kerajaan menafikan hak rakyat dalam menentukan dan membuat pilihan mereka sendiri.

“Tambahnya lagi DAP adalah Parti yang bertindak bukan Parti Pembangkang ‘Tin Kosong’ seperti yang didakwa oleh Joseph Kurup, Ahli Parlimen Pensiangan melalui portal berita MYNEWSHUB.

“DAP telah pun membuktikannya,” tegas Adrian.

Program Majlis Perasmian DAP Pensiangan yang berakhir kelmarin turut meraikan kehadiran ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang beserta rombongan yang hadir untuk merasmikan projek-projek tersebut.

BERITA BERKENAAN: –

Bosan Dengan Janji Barisan Nasional, Magatang ‘Mohon’ Bantuan DAP