DAP Beri Penerangan Kepada Rakyat Kenapa DUN Bubar

Oleh KEE HELMEY KEE ZAINAL

KENINGAU: DAP menubuhkan pasukan bertindak untuk memberi penerangan kepada rakyat khususnya di pedalaman tentang pergolakan politik yang menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan.

Penyelaras DAP Sook,merangkap Setiausaha Organisasi Wanita DAP Sabah, Clare Taunek berkata, mereka akan turun padang berjumpa rakyat untuk memastikan tiada kekeliruan atau tanggapan salah tentang kenapa Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu diadakan.

Clare Taunek

Katanya, rakyat perlu faham dan tahu apa punca sebenar Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengambil tindakan berkenaan.

“Rakyat harus faham dan wajib tahu situasi pergolakan politik di sabah dan perlu mengerti mengapa tindakan membubarkan DUN, kerana ingin memberikan semula kuasa dan tanggungjawab kepada rakyat sekali lagi sebagai penentu mutlak, parti pimpinan mana yang boleh membela nasib rakyat dan menjaminkan kemakmuran di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Clare berkata, badan bertindakn itu melibatkan kerjasama DAP Pensingan.

Katanya, matlamat utamanya ialah memberi penerangan kepada rakyat Sabah mengenai keadaan terkini politik Sabah melalui fakta yang tepat.

Menurutnya, tujuannya juga untuk memastikan tiada mana-mana yang cuba mengambil kesempatan dengan cuba memutar belit fakta.

” Usaha ini akan kami laksanakan dari masa ke semasa termasuklah bertemu masyarakat di kawasan pendalaman bagi menerangkan dan memberikan infomasi sebenar agar rakyat tidak tertipu dengan pihak-pihak yang menabur fitnah dan menyampaikan fakta yang tidak benar demi untuk kepentingan peribadi dan untuk meraih undi mudah,” tegasnya.

Khamis lalu, Mohd. Shafie membubarkan DUN Sabah bagi memberi laluan kepada PRN diadakan berikutan cubaan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman untuk merampas kuasa.