Dana Mencukupi Diperlukan Untuk Majukan Sektor Pelancongan Labuan

52

LABUAN: Labuan memerlukan dana yang mencukupi untuk meletakkan pulau bebas cukai ini setanding dengan destinasi pelancongan utama yang lain, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Beliau berkata pegawai-pegawai kementerian dan Perbadanan Labuan termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Dr Fary Akmal Osman masih sedang berbincang mengenai keperluan dana yang mencukupi untuk pelancongan Labuan.

“Kami masih di peringkat perbincangan, masih sedang berbincang dengan CEO Perbadanan Labuan, mengenai keperluan mendapat lebih banyak lagi dana daripada Kementerian Wilayah Persekutuan kerana Labuan juga adalah Wilayah Persekutuan, dan juga dana daripada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC).

“Kami mengharapkan lebih banyak dana untuk belanjawan tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Public Mural and Arch Community 2019 di sini hari ini.

Bakhtiar berkata pulau bebas cukai itu yang juga dikenali sebagai hab kewangan Malaysia, mempunyai pantai dan pulau yang boleh menjadi tempat tarikan pelancong, namun ia memerlukan dana yang mencukupi untuk merancakkan sektor pelancongannya, termasuk bagi tujuan melaksanaan promosi dan program-program berkaitan pelancongan.

Beliau berkata program libat urus perlu diadakan antara pegawai kementeriannya dengan mereka yang terlibat dalam pelancongan tempatan dalam bidang yang ditumpukan.

“Pegawai MOTAC juga sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menyenaraikan Labuan sebagai satu daripada destinasi yang perlu dilawati sempena Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya.

Bakhtiar berkata visa semasa ketibaan (VOA) yang diluluskan baru-baru ini untuk pelancong China dan India serta ekspatriat melalui Terminal Feri Antarabangsa Labuan merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk membantu meningkatkan ketibaan dan perbelanjaan pelancong di Labuan.

Beliau berkata acara tahunan Labuan seperti pertunjukan belon udara panas dan duathlon Labuan yang telah menarik kehadiran ramai pelancong perlu dipromosikan lagi.

“Kita juga boleh memperkenalkan semula pertandingan memancing antarabangsa, dan mungkin kita boleh menganjurkan ‘surfcasting’, memandangkan Labuan memang dikenali dengan aktiviti memancing ikan laut dalam,” katanya.