DAN 2.0, Pelan Tindakan DSMN Perkukuh Jaminan Bekalan Negara

KUALA LUMPUR: Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) dilihat mencukupi bagi menggariskan strategi dan tindakan dalam menangani isu membabitkan jaminan bekalan serta keselamatan makanan negara agar kekal utuh dalam mendepani sebarang krisis.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Makanan (MAFI) Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata kerajaan komited dalam isu ini dan ia dapat dilihat menerusi usaha pemerkasaan sistem makanan negara bagi menjamin kelangsungan bekalan makanan yang cukup, selamat, bernutrisi dan mampu beli.

Ahmad berkata antara strategi di bawah Pelan Tindakan DSMN adalah memperluaskan adaptasi teknologi dalam sistem makanan, memperkasa ketersediaan data sekuriti makanan dan memperkasa penyelidikan dan pembangunan berteraskan sekuriti makanan.

Jelasnya MAFI yakin strategi berkenaan akan dapat menyumbang kepada usaha memperkukuh sekuriti makanan negara dengan memastikan keberadaan makanan yang selamat dengan harga yang berpatutan di pasaran dan menjamin kesiapsiagaan negara dalam menghadapi krisis sekuriti makanan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Idris Jusoh (BN-Besut) yang meminta kerajaan menjelaskan strategi dalam memastikan keselamatan makanan (food-security) tidak terjejas khususnya ketika negara mendepani situasi pandemik COVID-19 ketika ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata kerajaan memahami situasi negara yang masih bergantung kepada import makanan negara dan sedang mengambil langkah proaktif dalam isu ini bagi memastikan kadar import berkurangan.

“Kerajaan cuba sedaya upaya tingkatkan pengeluaran beras negara dengan pendekatan program Smart Sawah Berskala Besar melalui pelbagai kaedah pelaksanaan dengan sudut teknikalnya berjaya tingkatkan hasil padi daripada 3.5 metrik tan per hektar kepada tujuh metrik tan per hektar,” katanya.

Beliau menjawab soalan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) yang meminta kerajaan menyatakan langkah proaktif untuk mengatasi kekurangan bekalan makanan tempatan yang kini terpaksa bergantung kepada import makanan melebihi RM51 bilion setahun.

Selain itu Dr Nik Muhammad Zawawi berkata kerajaan juga menubuhkan Lembaga Ruminan Negara bagi memastikan bekalan daging, lembu, kerbau dan biri-biri mencukupi dalam negara sekali gus mengurangkan import dari semasa ke semasa.