Dalang Sindiket Sijil Vaksin Palsu Ditahan

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lelaki yang disyaki dalang disebalik sindiket pendaftaran sijil digital vaksin Covid-19 palsu, hari ini.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan kerana disyaki mendapatkan bayaran RM2,000 daripada orang awam untuk mendaftarkan sijil digital vaksinasi Covid-19 di dalam aplikasi MySejahtera pada Oktober tahun lalu, tanpa perlu mengambil suntikan vaksin.

Menurut sumber, lelaki tersebut dipercayai memberi rasuah yang diterima daripada orang awam kepada sukarelawan yang bertugas di salah sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekitar Sabah untuk membantu mendaftarkan penama-penama yang tidak menerima suntikan dos vaksin Covid-19 bagi mendapatkan sijil digital vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.

Tambah sumber, suspek lelaki itu ditahan kira-kira pukul 1.30 petang tadi di Pejabat SPRM Kota Kinabalu susulan satu operasi yang dilancarkan di daerah tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata suspek disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Katanya, permohonan reman dijangka akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.