Dalang Sindiket Dadah Diberkas Bersama 1.05kg Syabu

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Demi upah RM200 hingga RM1,000, seorang lelaki tempatan bakal berdepan hukuman gantung sampai mati apabila diberkas bersama syabu seberat 1.05kg dengan nilai RM47,340.

Penganggur berusia 21 tahun ini sanggup menjadi dalang kepada sindiket pengedaran dadah di Likas sejak tahun lalu demi untuk mendapatkan duit dengan cara yang mudah melalui upah RM200 hingga RM1,000 setiap kali menghantar bekalan dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tangkapan ke atas suspek dilakukan hasil risikan dan intipan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah pada 25 November lalu. Suspek diberkas dengan berdekatan Kompleks Perikanan Likas.

Semasa kejadian 11.45 pagi itu, suspek dilihat berlegar-legar di sekitar kawasan kompleks tersebut bersama sebuah beg kertas dalam keadaan yang mencurigakan.

“Pemeriksaan yang dijalankan pada beg kertas yang dipegang oleh suspek mendapati terdapat satu plastik berisi syabu seberat 1052 gram yang disembunyikan di dalam bungkusan plastik teh cina berwarna hijau bertulis qing shan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Habibi berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan ujian saringan urin adalah negatif.

Kes ini disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Suspek telah direman bermula semalam untuk siasatan lanjut.