Dakwaan Pembangkang Hospital Labuan Kekurangan Cuma ‘Political Mileage’

LABUAN: Perkhidmatan dan kemudahan disediakan Hospital Labuan telah meningkat, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari.

“Hospital Labuan dengan visi ‘Labuan Pulau Sihat 2019’ dilengkapi dengan kemudahan perubatan dan pakar mencukupi untuk menampung keperluan penduduk di pulau ini,” katanya dalam kenyataan.

DR ISMUNI BOHARI

Dalam satu laporan, beliau menyangkal dakwaan dan tuduhan pembangkang di pulau itu dan menyifatkan isu dibangkitkan merupakan isu lapuk yang dipolitikkan untuk keuntungan politik.

Lima isu melibatkan hospital iaitu bumbung bocor, penghawa dingin tidak berfungsi, bekalan kuasa yang tidak mencukupi, lot parking yang tidak banyak dan kekurangan pakar perubatan dengan sengaja diketengahkan demi keuntungan politik.

Dakwaan itu baru-baru ini, dibuat oleh ketua PKR Labuan Simsudin Sidek yang mengatakan Kementerian Kesihatan perlu menyediakan peruntukan lebih besar kepada Hospital Labuan untuk meningkatkan perkhidmatannya.

Mengenai bumbung bocor dan penghawa dingin yang tidak berfungsi, Dr Ismuni berkata peruntukan untuk menggantikan bumbung dan penghawa dingin baharu telah diluluskan dan kerja pembaikan dijangka selesai bulan depan.

“Berkenaan dakwaan bekalan kuasa tidak mencukupi, kita mesti jelaskan di sini bahawa bekalan kuasa pada masa ini mencukupi.

“Bukan sahaja cukup, kami juga mengambil langkah untuk berbincang dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengenai permintaan bekalan kuasa ke hospital untuk lima hingga 20 tahun akan datang,” katanya.

Dr Ismuni juga menjelaskan bahawa lot parkir di hospital itu kadangkala tidak digunakan berikutan projek pelebaran lot tempat letak kenderaan siap Disember tahun lepas, justeru dakwaan bahawa lot parkir tidak mencukupi adalah tidak berasas.

Katanya 13 pakar melibatkan sembilan bidang kepakaran – penyakit dalaman, pediatrik, obstetrik dan ginekologi, pembedahan, ortopedik, kecemasan, radiologi, psikiatri dan anesthesia (bius) – ditempatkan di hospital itu.

“Kami menyedari situasi di hospital kami, isu yang dibangkitkan pembangkang adalah isu lapuk yang telah dan sedang diselesaikan secara berperingkat,” katanya.