Dakwaan Misuari Serius – Musa Aman; Patut Namakan Individu Itu

Nur Misuari
Nur Misuari

KOTA KINABALU – Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari sepatutnya tidak mudah melemparkan dakwaan bahawa seorang pemimpin Malaysia terlibat di dalam penculikan warga asing di Sipadan dalam tahun 2000 tanpa bukti, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

“Ini adalah dakwaan yang serius.

Nur Misuari patut memberikan nama individu yang beliau dakwa terlibat dalam penculikan itu,” katanya dalam satu kenyataan disini hari Jumaat.

Nur Misuari dilaporkan berkata beliau mempunyai bukti untuk menyokong dakwaannya dan akan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan, termasuk di mahkamah antarabangsa.

Pada April 2000, 10 rakyat Malaysia dan 11 warga asing diculik sekumpulan lelaki bersenjata dari pulau itu.

Musa berkata dakwaan sedemikian boleh menjejaskan imej Malaysia dan negeri ini selain daripada menegangkan hubungan antara Malaysia dengan Filipina.

Beliau juga berkata daripada menggunakan pendekatan yang keras, Nur Misuari sepatutnya menggunakan diplomasi dan berusaha mendapatkan kestabilan di dalam kawasannya dan keamanan dengan jirannya.