Dakwaan Jahid Tidak Berasas; Warisan Tiada Kuasa Keluarkan MyKad

6661

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah gagal menggugat dan menguji kekuasaan dan akauntabiliti Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) berkaitan isu Pendatang Tanpa Izin (PTI) di Sabah.

Ahli Majlis Tertinggi Warisan Martin Tommy (gambar) berkata, Ketua Penerangan PBS Jahid Jahim seharusnya bertanya kepada bekas Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengenai apa yang berlaku terhadap laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkatian masalah PTI di Sabah.

“Beliau (Pairin) sepatutnya memberitahu hasil laporan itu tetapi, sehingga hari ini laporan itu tidak didedahkan kepada umum. Hanya dia yang tahu sebabnya,” katanya.

Martin mempertikaikan tindakan pemimpin PBS seperti Jahid kerana tidak mempersoalkan tentang hasil laporan RCI berkenaan.

Beliau berkata, PBS yang begitu hebat memperjuangkan tentang isu PTI telah diberi peluang untuk membuktikan kebolehan mereka kepada rakyat Sabah dengan pelantikan Pairin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal RCI.

Namun, parti itu gagal untuk memenuhi dan memuaskan hati rakyat Sabah. Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Jahid mengenai isu PTI di Sabah.

BERITA BERKAITAN: –

Leiking Letak Jawatan Jika Terbukti Warisan Beri myKad Kepada PTI

Pada Isnin, Jahid mengeluarkan kenyataan mendakwa kerajaan dibawah pimpinan Warisan memberi MyKad kepada PTI di Sabah.

Dakwaan yang dilemparkan terhadap Pengerusi Tetap Warisan merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Datuk Liew Vui Keong yang didakwa mengeluarkan MyKad kepada rakyat di Batu Sapi disifatkan sebagai kenyataan yang tidak matang.

Martin berkata, ia memperlihatkan ketidakmatangan dan ketidakupayaan Jahid dalam memahami prosedur pengeluaran MyKad. “Sekiranya dia (Jahid) rajin dan tidak terlalu jahil, dia pasti tahu bahawa hanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berkuasa mengeluarkan MyKad setelah memperoleh semua dokumen diperlukan.

Tiada orang lain termasuk Liew mempunyai kuasa berbuat begitu.

“Untuk makluman Liew juga telah menafikan bahawa Pusat Perkhidmatan Parlimen Batu Sapi menawarkan khidmat mengeluarkan MyKad kepada orang ramai,” jelasnya.

Malah, laporan polis juga telah dibuat terhadap dakwaan tidak berasas itu.

Martin berkata, Jahid seolah-olah meludah dimuka sendiri apabila dia mengeluarkan dakwaan liar sebegitu terhadap pemimpin Warisan yang didakwa mengeluarkan MyKad kepada PTI walhal, tiada seorang pun pemimpin yang berkuasa berbuat begitu.

“Adakah dia (Jahid) terlalu takut dengan bayang-bayang sendiri dan sekarang dia cuba mengalihkan perhatian kepada Warisan,” soalnya.

Menurut Martin, Jahid juga bimbang dengan kenyataan Timbalan Presiden Warisan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking yang mengatakan dia mengetahui kebenaran bahawa Warisan tidak pernah memberikan MyKad kepada PTI.

Martin berkata, dakwaan Jahid bahawa JPN dilihat berada di tapak kebakaran selepas insiden kebakaran berlaku adalah dakwaan yang sangat serius.

“Saya cabar dia (Jahid) untuk membuat laporan polis dan jika tidak saya sendiri akan membuat laporan polis terhadapnya dan biarkan polis menjalankan siasatan terhadap tuduhan liar yag dilemparkan,” jelasnya.

Martin berkata, Jahid seperti berusaha bersungguh-sungguh untuk memperlihatkan dirinya dan juga PBS masih relevan. Namun hakikatnya, rakyat Sabah sudah menolak PBS dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.