Dakwaan Agihan Tidak Telus, SPRM Boleh Lakukan Pemantauan – ADUN Labuk

Oleh SURAIDAH ROSLAN
BELURAN: Pemantauan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) amat dialu-alukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk dalam memastikan pengagihan bantuan secara telus dilakukan.

Demikian kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk, Abdul Rahman Kongkawang ketika mengulas mengenai pengagihan bantuan makanan di kawasannya.

Beliau berkata, sekiranya SPRM ingin memantau proses pembahagian bantuan di DUN Labuk, Parlimen Beluran serta bantuan disalurkan melalui Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), perkara itu amat dialu-alukan.

Katanya, beliau yakin pengagihan sumbangan di kawasan DUN Labuk dilaksana secara telus dan jelas dalam memastikan kumpulan sasar menerima bantuan yang sepatutnya.

“Saya terkejut apabila nama saya tiba-tiba dikaitan dengan pengagihan bantuan yang tidak telus melibatkan penduduk Kampung Bautu,  Kampung Kapuron dan Kampung, Gambaron di Telupid.

“Penduduk kampung mendakwa nilai bantuan barangan makanan yang diberikan tidak seperti yang dijanjikan,” katanya.

Menurutnya, antara barangan yang disediakan melalui peruntukan yang diberikan melalui ADUN Labuk adalah beras 10kg, sekotak telur, 1kg minyak masak dan 1kg garam.