Dakwa Warisan Tiada Prinsip, DAP Sila Cermin Diri

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) mengingatkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) agar cermin diri sendiri sebelum menuduh Warisan tidak berprinsip.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, sejak daripada awal Warisan kekal dengan pendirian tidak mahu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan kerana tidak mahu kehilangan.

Namun, tindakan rakan pembangkang lain seperti DAP menyatakan Warisan tidak berprinsip merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima, sedangkan mereka yang tandatangan MoU dengan kerajaan.

“Jika dilihat di Perak, DAP juga bekerjasama dan menandatangani MoU, jadi persoalan di sini, siapa yang tiada prinsip. Adakah Warisan? Kita sangat konsistem biarpun banyak tekanan diberikan, orang kita dibeli dan ditekan hingga dibawa ke mahkamah dan dikejar oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.

“Namun, kita masih kekal dengan pendirian kita kerana kita percaya bahawa perpaduan dalam kalangan rakyat merupakan kunci kejayaan,” katanya dalam program secara langsung menerusi laman Facebook semalam.

Ditanya tindakan Setiusaha Agung DAP, Anthony Loke menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim bekerjasama dengan kluster mahkamah (Barisan Nasional), Mohd Shafie berkata, beliau sendiri agak terkejut dengan keputusan DAP itu.

Menurut Ahli Parlimen Semporna itu, semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020, Warisan memberi ruang kepada DAP dan PKR masing-masing bertanding tujuh kerusi.

Kemudian sehari selepas penamaan calon, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berada di Sabah untuk membantu calon PH kerana difahamkan ketika itu, Anwar perlu berada di Kuala Lumpur kerana mahu menghadap Yang diPertuan Agong.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Christina Liew pada masa itu menyatakan Anwar telah mempunyai sokongan mencukupi dan perlu menghadap Agong.

“Kita di Sabah sedang menentang pihak lawan namun, ada pihak yang sibuk dengan perjanjian untuk menjadi Perdana Menteri jadi, biar rakyat menilai keadaan itu,” katanya.