Curi Pakaian Dalam Wanita, Duda Dua Anak Dipenjara 24 Bulan

KOTA KINABALU: Perbuatan seorang lelaki mencuri pakaian dalam wanita demi memuaskan nafsu akhirnya membawa padah apabila lelaki berkenaan dijatuhi hukuman penjara 24 bulan di Mahkamah Majistret hari ini.

Tertuduh, yang merupakan seorang duda kepada dua anak, Muhammad Rizal Richard Abdullah, 39, mengaku bersalah atas perbuatan mencuri pakaian dalam di sebuah taman perumahan di Manggatal di hadapan Majistret, Jessica Ombou Kakayun.

Tertuduh yang merupakan seorang penganggur didakwa melakukan perbuatan mencuri pakaian dalam wanita pada 11 Ogos, pukul 1.39 pagi. Kehilangan pakaian dalam milik pengadu itu dikatakan sudah berlaku sebanyak enam kali.

Berdasarkan fakta kes, suspek ditangkap susulan laporan polis daripada seorang pengadu yang melaporkan tentang kehilangan pakaian dalam yang disidai di beranda belakang rumahnya.

Laporan polis itu dibuat kira-kira pukul 2.03 petang pada hari yang sama dan suspek ditahan pada 13 Ogos, tengah malam.

Suspek ditahan di rumahnya semasa sedang memakai seluar dalam milik pengadu. Pemeriksaan lanjut turut menemukan 10 jenis pakaian dalam wanita dalam simpanan suspek.

Pemeriksaan terhadap kamera litar tertutup (CCTV) mendapati ada kelibat tertuduh mencuri pakaian itu dengan menggunakan sebatang kayu di beranda belakang rumah. Pengadu kemudian melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

Menurut fakta kes, alasan suspek mencuri pakaian dalam wanita itu sebagai salah satu cara untuk memuaskan nafsunya.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Albert Basiri manakala, tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nabila Norsahar.