‘Cuma Kayu (Belian) Yang Sudah Ditebang Berpuluh Tahun’

566
Kayu belian telah ditebang berpuluh tahun dan tertimbus bawah tanah, orang korek dan mereka jumpa; bukannya baru ditebang semalam.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
TAWAU: Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menegaskan tiada sebarang kebenaran atau pemberian lesen baharu bagi membolehkan aktiviti pembalakan dijalankan di Tawau negeri seperti yang didakwa oleh UMNO Sabah.

Ketua Menteri berkata, dakwaan berlaku aktiviti pembalakan dan pengeluaran kayu belian itu tidak benar sebaliknya hasil bumi tersebut sebenarnya telah ditebang berpuluh tahun lalu dan hanya dikeluarkan baru-baru ini.

SHAFIE APDAL

“Saya sudah cakap kayu belian itu telah ditebang berpuluh tahun dan tertimbus bawah tanah, orang korek dan mereka jumpa bukannya baru ditebang semalam.

“Sekarang ini tiada lesen yang kita bagi, pembalakan yang ada sudah berlesen diberikan kerajaan dahulu tetapi pengeksportan balak kita telah tidak dibenarkan,” tegasnya dalam sidng akhbar.

Kelmarin, UMNO Sabah meminta penjelasan kerajaan negeri tentang pengeluaran kayu belian yang didakwa dilakukan oleh Jabatan Pertanian di Bukit Quoin, Tawau.

Pembalakan yang ada sudah berlesen diberikan kerajaan dahulu, tetapi pengeksportan balak tidak dibenarkan oleh Kerajaan pimpinan Warisan Sabah.

Shafie berkata, kerajaan negeri telah menghentikan aktiviti pembalakan secara berleluasa yang dilakukan sebelum ini, namun masih wujud beberapa pihak yang mempunyai lesen di bawah Unit Pengurusan Hutan (FMU) sehingga tempoh 50 tahun bagi menguruskan hasil bumi itu yang diberi oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kita lihat mereka dapat FMU ini diberikan oleh kerajaan lama untuk tempoh 30 hingga 50 tahun tetapi kerajaan sekarang ambil perhatian dan akan perbetulkan.

“Walaupun ada FMU kita tetap laksanakan sekatan tertentu untuk memastikan balak itu dapat digunakan oleh industri hiliran tempatan seperti kilang perabot dan playwood yang kita ada,” katanya.

Tambah beliau, cadangan supaya Akta Perhutanan dipinda tidak perlu kerana undang-undang berkenaan sudah cukup.

“Kerajaan negeri sudah ada kuasa yang cukup di bawah akta sekarang cuma yang penting penguatkuasaan,” katanya.