Cukuplah Mencari Alasan Untuk Mengingkari Saranan YDPA dan Raja-Raja Melayu

CHAN FOONG HIN

OLEH CHAN FOONG HIN
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu telah bertitah dengan jelas menyarankan agar kerajaan mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin.

Saya menjunjung kasih titah saranan Tuanku-Tuanku. Di sini, saya ingin menggesa agar Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) untuk turut serta menjunjung titah Agong, Raja-raja Melayu dengan segera mengadakan persidangan Parlimen tanpa memberikan apa-apa lagi alasan untuk melengahkannya.

Selain daripada Parlimen, Tuanku-Tuanku selaku ketua negeri masing-masing juga bersepakat dan sebulat suara menyarankan agar kerajaan-kerajaan negeri mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri masing-masing.

Saranan YDPA dan Raja-Raja Melayu untuk pembukaan semula persidangan Parlimen dan DUN merupakan manifestasi sokongan terhadap demokrasi berparlimen.

Ramai menteri dan pemimpin kerajaan PN telah menggesa agar darurat dilanjutkan selama enam bulan lagi selepas tarikh tamat pada 1 Ogos.

Walaupun dengan gesaan tersebut, YDPA dan Raja-Raja Melayu tetap memilih untuk membuat pendirian bahawa darurat tidak perlu dilanjutkan lagi selepas 1 Ogos.

Kenyataan YDPA yang dikeluarkan melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja dan Raja-Raja Melayu yang dikeluarkan melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja ini adalah sangat jelas menunjukkan ketidakpercayaan dan ketidakpuasan hati terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan PN.

YDPA dan Raja-Raja Melayu telah mendengar suara rakyat. Ini juga menunjukkan bahawa YDPA selaku ketua negara dan Raja-Raja Melayu bersetuju bahawa demokrasi berparlimen adalah kaedah terbaik untuk menyelesaikan krisis politik, ekonomi dan kesihatan Malaysia.

Ini adalah detik bersejarah di Malaysia di mana Ketua Negara dan ketua-ketua negeri memilih untuk menyatakan pendirian mereka dan mengeluarkan kenyataan secara terbuka.

Ini jelas adalah ketidakpercayaan terhadap pentadbiran Kerajaan PN, terutama terhadap Perdana Menteri Mahiaddin (Muhyiddin). Ini menunjukan bahawa YDPA dan Raja-Raja Melayu telah merasa amat kecewa dengan pencapaian Kerajaan PN yang sememangnya gagal dalam mengawal pandemik Covid-19 di Malaysia.

Sebaliknya, Tuanku-Tuanku terus menekankan perlunya pemerintah yang kuat dan stabil agar Malaysia dapat mencari jalan keluar daripada wabak Covid-19 ini.

Di bawah sistem Raja Berperlembagaan, walaupun sangat jarang sekali berlaku, raja-raja juga dapat menjadi kuasa semak dan seimbang (check and balance) kuasa menteri-menteri yang memiliki kuasa pentadbiran (eksekutif).

Walaupun Perdana Menteri Mahiaddin dari PN memperoleh kuasa tidak terbatas dalam keadaan darurat dengan mengelak menjawab kepada Parlimen, namun demikian beliau masih gagal mengawal penularan wabak Covid-19 sehingga keadaan tersebut menjadi semakin teruk.

Prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaannya huru-hara, jumlah pesakit yang dijangkiti Covid-19 mencapai tahap semakin hari semakin tinggi, dan menteri Kabinetnya bekerja sendiri-sendiri tanpa koordinasi.

Semua ini dapat dilihat oleh rakyat jelata. YDPA dan Raja-Raja Melayu pasti telah banyak mendengar rungutan dan keluhan rakyat dan merasakan bahawa baginda bertanggungjawab membetulkan situasi kacau bilau sebelum memilih membuat kenyataan politik yang jarang berlaku dalam usaha memastikan Malaysia kembali ke landasannya.

Di sini, saya ingin menasihati Mahiaddin agar tidak membelakangi saranan YDPA dan Raja-Raja Melayu. Saya juga ingin menggesa para menteri Kabinet PN agar tidak menggunakan alasan seperti “YDPA hanya mengatakan untuk mengadakan Parlimen secepat mungkin, tetapi tidak mengatakan bila” bagi memperlekehkan saranan YDPA.

Sekiranya Mahiaddin dengan menteri-menteri Kabinetnya bercadang untuk meneruskan tindakan mereka yang menghina institusi Raja Berperlembagaan dan institusi demokrasi berparlimen, maka nama-nama mereka sudah tentu akan termaktub di dalam sejarah (go down in history) sebagai penderhaka raja-raja dan pengkhianat rakyat jelata.

Dalam apa jua keadaan, setelah YDPA dan Raja-Raja Melayu menyatakan pandangan mereka, Mahiaddin boleh dikatakan menjadi Perdana Menteri yang “tempang”.

Parti-parti PN, yang bergabung atas semangat “pengkhianatan”, tidak akan dapat bertahan lama dalam keadaan bersatu-padu dan amat susah untuk diteruskan di mana bila-bila masa sahaja kerajaan gabungan ini akan runtuh dan bercerai.

Saya ingin menasihati Mahiaddin, adalah lebih baik untuk menjunjung titah YDPA dan Raja-Raja Melayu, supaya mengadakan Parlimen dengan serta merta sebagai platform terbaik untuk membincangkan strategi melawan wabak Covid-19, di mana semua ahli Parlimen berdebat mewakili suara rakyat dari kawasan masing-masing.

CHAN FOONG HIN, Ahli Parlimen P172 Kota Kinabalu