Cukuplah Ambil Kredit Usaha Warisan Perjuangkan Tuntutan MA63, Mathew Yong Ingatkan Christopher Mandut

(Komen: Aktivis Masih Warisan (Mawar), Mathew Yong)

Menurut laporan Federal – State Relations Under The Pakatan Harapan Government yang diterbitkan oleh ISEAS yang berpengkalan di Singapura pada tahun 2020, Jawatankuasa Khas Kabinet MA63 (JKKKMA63) telah ditubuhkan pada Oktober 2018 hasil daripada desakan Timbalan Presiden Parti Warisan, Datuk Darell Leiking yang ketika itu merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta mantan Menteri Undang-Undang, mendiang Datuk Liew Vui Keong dalam setiap mesyuarat Kabinet.

JKKKMA63 akhirnya dipersetujui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan seterusnya menyaksikan penubuhan Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja.

Presiden STAR, DSP Jeffrey Kitingan dan Timbalan Pengerusi BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun telah dilantik menjadi ahli dalam Jawatan Kuasa Teknikal JKKKMA63.

Antara pencapaian JKKKMA63 yang turut dianggotai oleh Darell, Liew, Ketua Menteri Sabah ketika itu, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ialah, kelulusan 17 dari 21 tuntutan yang dikemukakan oleh Sabah dan Sarawak.

Untuk pengetahuan Ketua Pemuda PBS, Christopher Mandut, tuntutan Kajian Semula Pemberian Khas yang kononnya hasil usaha Datuk Seri Dr Maximus Ongkili adalah salah satu daripada 17 tuntutan yang diluluskan.

Jika Darell gagal dan tidak melakukan apa yang sepatutnya, tidak mungkin Dr Max boleh mengambil kredit terhadap tuntutan ini termasuk beberapa isu yang lain berkaitan hak-hak Orang Sabah.

Mandut mungkin tidak faham atau sengaja tidak mahu faham bahawa Darell amat memahami tugasan seorang Menteri Persekutuan seperti yang beliau jelaskan bahawa Dr Max sepatutnya lebih bersuara dalam mempertahankan hak Sabah dalam setiap mesyuarat Kabinet kerana itulah medium yang sesuai.

Tambahan, Dr Max mempunyai direct access kepada Perdana Menteri yang beliau sifatkan sebagai sangat inklusif dalam perkara MA63 ini.

Untuk apa Dr Max memegang portfolio sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak jika beliau tidak boleh menyalurkan permasalahan Sabah dan Sarawak secara terus kepada Kerajaan Persekutuan dan perlu menunggu sehingga ada yang buat aduan barulah Dr Max yang bertaraf Menteri boleh mengaturkan mesyuarat atau sebagainya?

Pada saya, kerajaan hanya membazirkan wang rakyat Malaysia mengupah seorang menteri yang mempunyai pendapatan lebih daripada RM80,000 sebulan (mengikut laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) pengesahan aset Menteri Persekutuan 2020), hanya bertindak sebagai fasilititor sedangkan tugasan sebegini biasanya di bawah tanggungjawap pegawai biasa kerajaan.

Berbalik kepada Laporan yang diterbitkan oleh ISEAS itu, Darell juga dikatakan telah diberi mandat untuk membawa lebih banyak pelaburan ke Sabah di mana sejumlah RM18b jumlah pelaburan telah berjaya di bawa masuk melalui MIDA untuk menyokong visi Shafie yang mahu jadikan Sabah sebuah Wilayah industri.

Ini dilakukan oleh Darell sebagai anak Sabah untuk memperkuatkan ekonomi Wilayah ini sambil memberi ruang pekerjaan yang banyak kepada anak-anak Sabah.

Ianya nyata berbeza dengan apa yang Mandut katakan bahawa Dr Max sebagai menteri persekutuan tidak boleh berat sebelah kepada Sabah sahaja.

Mandut mungkin lalai dalam kenyataan beliau kerana tugas Dr Max hanyalah menjaga perihal ehwal Sabah dan Sarawak sahaja bukan merangkumi seluruh Malaysia atau perlu berurusan dengan wakil kerajaan seluruh dunia seperti apa yang Darell lakukan.

Memandangkan Mandut mempersoalkan apa pencapaian Darell selama menjadi Menteri selama 18 bulan, selain daripada kejayaan membawa tuntutan MA63, sejumlah RM207.9b jumlah pelaburan telah diluluskan melalui sektor Pembuatan, Pembinaan dan Sektor-sektor utama yang lain selama Darell mengetuai MITI.

Pencapaian tersebut menyaksikan peningkatan secara umum semua sektor 1.7% di mana lebih 60% disumbangkan oleh syarikat tempatan sejumlah RM125.5 billion dan menyediakan lebih daripada 73 ribu peluang pekerjaan di seluruh negara.

Semua ini dapat dicapai oleh MP Penampang itu dalam tempoh sangat singkat iaitu dari Mei 2018 hingga Mac 2019 di mana Sabah mendapat impak sebanyak RM12.4b sekaligus menjadikan jumlah pelaburan keseluruhan yang masuk ke Sabah sepanjang Darell menerajui MITI hingga Februari 2020 adalah sebanyak RM18b.

Pencapaian luar biasa ini telah mengejutkan ramai pihak kerana jumlah pelaburan RM207.9b itu merupakan yang terbesar dalam sejarah MITI melebihi pencapaian tokoh yang jauh lebih berpengalaman seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Mustapha Mohammad.

Saya ingin bertanya kepada Mandut, apa pencapaian Dr Max selama menjadi Menteri Persekutuan selama hampir 20 tahun dan kenapa Kota Marudu adalah antara daerah termiskin di Malaysia?

Agak lucu juga bila Mandut menyatakan bahawa banyak kejayaan Dr Max dalam konteks MA63 seperti pindaan Perlembagaan 1(2) dan perkara 160 (2) perlembagaan Persekutuan, pengagihan gas cecair petroleum (LPG), lesen menangkap ikan laut dalam kepada Sabah dan Sarawak serta tuntutan Pemberian Khas kepada Sabah adalah hasil usaha Dr Max.

Namun, seperti yang Mandut katakan bahawa Dr Max adalah fasilitator, maka saya akui ianya merupakan satu kejayaan yang besar kerana tiada mana-mana fasilitator di dunia ini yang mampu menjayakannya.

Untuk pengetahuan, kuasa mengeluarkan lesen menangkap Ikan Laut Dalam telah dikembalikan kepada Sabah dna Sarawak semasa pentadbiran kerajaan yang lepas kerana ianya merupakan salah satu dari 17 tuntutan yang diluluskan.

Seorang fasilitator tidak mempunyai kelayakan untuk memberi kuasa kepada Sabah dan Sarawak, ianya harus turun daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan seperti yang diumumkan oleh Menterinya DS Ronald Kiandee pada 3 Disember lepas.

Dalam isu tuntutan pemberian khas, Mandut juga mengatakan bahawa jumlah besar itu adalah hasil daripada kerja keras Dr Max sendiri sedangkan presiden STAR, DSP Dr Jeffrey Kitingan mengatakan ianya hasil daripada kerajaan GRS – BN.

Begitu juga dalam isu petroleum di mana Masidi yang berhempas meja semasa rundingan dengan Petronas demi untuk mempertahankan hak Sabah tapi Mandut katakan ianya hasil dari Dr Max.

Nampak gaya semua pemimpin GRS – BN mahu mengambil kredit ke atas usaha orang lain namun tiada seorang pun antara mereka mahu mengakui bahawa semua ini adalah hasil dari inisiatif dan usaha keras Warisan.

Mereka juga seakan mahu mengaburi mata orang Sabah bahawa mereka, terutama Dr Max yang telah menjadi Menteri Persekutuan selama hampir dua dekad dan berada dalam kerajaan dari era BERJAYA, PBS mahupun BN, tidak pernah merealisasikan tuntutan terhadap MA63 di peringkat Persekutuan seperti apa yang Warisan telah lakukan dalam tempoh hanya 22 bulan.

Mandut harus berpijak dibumi yang nyata dan sepatutnya berterima kasih kepada Darell dan semua kepimpinan Warisan Plus yang berjaya mengangkat perjuangan MA63 sehingga Dr Max dan GRS – BN senang lenang mengatakan bahawa ini semua adalah hasil daripada usaha mereka sendiri.

Nasihat terakhir saya kepada Mandut, sudah-sudahlah berpolitik dan bantu Dr Max tingkatkan ekonomi Kota Marudu agar daerah itu keluar daripada belengu kemiskinan.