‘Cukup-cukuplah Sabah Tunduk Kepada Malaya’ – Faridah Stephens

Oleh AARON GODWIN
KOTA KINABALU: Hanya tinggal kurang 24 jam lagi sebelum rakyat Sabah turun menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Faridah dengan Toh Puan Rahimah Stephens.

Anak kepada mantan Ketua Menteri Sabah, Faridah Mohd Fuad Stephens tampil menyuarakan pandangan mengenai keadaan Sabah pada hari ini.

Dalam satu teks ringkas menerusi Whatsapp, Faridah memaklumkan mengenai surat yang ditulis oleh arwah bapanya Tun Fuad Stephens kepada Harry Lee Kuan Yew, ketika Singapura meninggalkan Malaysia pada 10 Ogos 1965.

Antara kandungan surat yang ditulis oleh bekas Ketua Menteri itu berbunyi adalah ‘Jika rang undang-undang membentuk Malaysia gagal mendapat majoriti 2/3, kerajaan Tunku (Tunku Abdul Rahman) akan tumbang. Kekacauan mungkin bukan perkataan yang boleh menggambarkan apa akan berlaku’.

Dengan itu, Faridah mengajak rakyat Sabah mengingati bagaimana Sabah tunduk kepada Semenanjung Malaysia selama 55 tahun ini.

“Sekarang adalah masa untuk berubah. ‘Cukup Cukuplah. Saya rasa satu-satunya cara adalah beri mandat kepada Warisan Plus’,” ujarnya.

Sabah cukup bertuah kerana mempunyai pemimpin yang cukup disayangi. Saya kenal kebanyakan daripada mereka dan hormat mereka.

“Namun, dalam sejarah juga terdapat ketikanya ia membawa kita menuju ke arah tertentu. Ini adalah masanya.

“Sekarang seluruh dunia sedang menonton dan mendoakan agar ada perubahan kepada naratif politik lama yang berasaskan bangsa dan agama. Kita boleh lakukan perubahan yang besar.”