Cukai Jualan Negeri Produk Petroleum, Inisiatif Warisan Plus Terus Memberikan Pulangan Besar Kepada Sabah

KOTA KINABALU : Hasil cukai jualan ke atas produk petroleum adalah legasi peninggalan pentadbiran kerajaan negeri Warisan Plus pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang akan dinikmati rakyat Sabah sampai bila-bila.

Kini, Cukai Jualan Negeri (CJN) bagi produk petroleum yang diperkenalkan atas inisiatif Warisan Plus pada akhir 2018 terus memberi pulangan besar kepada pendapatan Sabah.

Hari ini, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu, Kerajaan Sabah mengutip sebanyak RM1.79 bilion CJN bagi produk petroleum antara Januari lalu sehingga 28 November lalu, kata Menteri Kewangan Kedua Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Katanya, jumlah berkenaan juga melebihi sasaran kutipan sebelum ini, iaitu RM1.1 bilion.

Masidi berkata, sasaran awal itu berdasarkan harga minyak USD53 setong di pasaran antarabangsa, namun peningkatan harga minyak sepanjang tahun ini turut meningkatkan kutipan CJN.

“Sukacita dimaklumkan bahawa hasil CJN petroleum yang dikutip kerajaan negeri lebih tinggi daripada apa yang kita jangka dan anggarkan.

“Setakat 28 Nov, iaitu kelmarin, sebanyak RM1.79 bilion hasil CJN petroleum berjaya dikutip,” katanya pada sesi soal jawab sidang DUN Sabah di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) mengenai jumlah CJN yang dianggarkan pada tahun ini bagi sektor minyak dan gas di Sabah.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Dr Yusof Yacob (Bebas-Sindumin) mengenai perbezaan CJN dikutip di Sabah dengan Sarawak, Masidi berkata, kutipan Sarawak lebih tinggi berikutan aktiviti hiliran minyak dan gas yang lebih banyak di negeri itu.

“Sarawak lebih ke hadapan dalam industri hiliran minyak dan gas, sebab itu mereka dapat mengutip cukai yang lebih tinggi,” katanya.

“(Sabah) pun dalam usaha untuk meluaskan kutipan CJN termasuk produk urea dan ammonia,” katanya.