Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, perkara itu sudah dibawa untuk perhatian dan telah mendapat persetujuan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Hasil RM1.2 bilion ini akan dibayar secara terus oleh Petronas, ia tidak termasuk dalam Belanjawan 2021. Namun, dana itu akan dimasukkan dalam belanjawan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan turut mengutip cukai jualan lima peratus daripada syarikat minyak dan gas lain yang beroperasi di Sabah.
Ini adalah satu berita yang baik dan Sabah akan mempunyai lebih banyak dana untuk dibelanjakan bagi melaksana lebih banyak pembangunan infrastruktur, pembangunan sumber manusia serta pembangunan ekonomi di negeri ini.
Dalam pada itu, kerajaan negeri juga telah menulis surat kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mendapatkan dana RM500 juta bagi memenuhi Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, dibawah Jadual 10, Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan, kerajaan persekutuan seharusnya memberikan 40 peratus hasil yang dikutip oleh persekutuan kepada Sabah.
Jeffrey berkata, dana RM500 juta itu jauh lebih baik berbanding geran khas berjumlah RM53.4 juta yang dibayar kepada Sabah semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Perjanjian antara kerajaan pimpinan Warisan dengan kerajaan PH mempunyai kekurangan. Dana berjumlah RM53.4 juta untuk tempoh empat tahun dan RM106.8 juta bagi tahun kelima bermakna kita (Sabah) tidak mempunyai ruang untuk perundingan bagi tempoh lima tahun.
“Ini hanya akan mengakibatkan kerugian besar kepada hasil Sabah. Memandangkan kerajaan persekutuan mengembalikan geran khas kepada RM26.7 juta, kita tidak mempunyai ruang untuk berbincang bagi meminta dana yang lebih tinggi. Ini merupakan hak kita.
“Apa yang lebih penting, ini akan memberi kita peluang untuk memperbaiki kesilapan kerajaan Warisan,” ujarnya.