Cubaan Seludup 350 Karton Minuman Keras Dipatahkan

LABUAN: Cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup 350 karton minuman keras belum bercukai ke tanah besar berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan, di sini petang semalam.

Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Labuan, Inspektor Shafiq Rezza berkata, pihaknya berjaya menahan lelaki tempatan berusia 38 tahun dalam Op Terancang (Op Benteng Covid-19) di Pekan Menumbok pada 6.15 petang semalam.

Beliau berkata, anggota PPM menahan sebuah lori 10 tan yang yang dipandu lelaki tersebut dan pemeriksaan ke atas lori mendapati terdapat minuman keras belum bercukai yang disyaki cuba diseludup ke tanah besar.

Katanya, lori terbabit dipercayai bergerak dari Labuan menuju ke Menumbok dengan menaiki feri kenderaan.

Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 350 minuman keras berjenama Royal Stout dan Guinness Stout dengan cara disembunyikan bersama muatan tepung gandum dalam kargo lori tersebut.

Katanya, jumlah keseluruhan nilai rampasan minuman keras termasuk sebuah lori dianggarkan melebihi RM350,000 termasuk cukai.

Tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort untuk tindakan lanjut.

Kes ini disiasat dibawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.