Cubaan Seludup 20,000 Kapsul Ubat Gagal, Wanita Ditahan

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Cubaan seorang wanita tempatan menyeludup masuk hampir 20,000 biji kapsul ubat ke negeri ini gagal, selepas ditahan Pasukan Polis Marin (PPM), di perairan Singgamata, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, PPM turut merampas 9,000 botol kaca 1 mililiter, dua enjin bot pam, bot dan beberapa barangan lain dianggarkan bernilai RM118,170.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali mengesahkan perkara itu menerusi satu kenyataan media, hari ini.

“Terdahulu, PPM yang melakukan rondaan rutin, berjaya menemui sebuah bot pam berwarna biru dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan daerah ini.

WANITA tempatan yang ditahan bersama hampir 20,000 kapsul ubat dari Filipina, di perairan Singgamata, malam tadi.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot pam yang dikemudi seorang juragan lelaki itu cuba melarikan diri bagi mengelak ditangkap,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, bagaimanapun pihaknya berjaya memintas bot tersebut sebelum suspek (juragan) bertindak terjun ke air dan menghilangkan diri.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang wanita tempatan berusia 56 tahun bersama beberapa bungkusan berada dalam bot pam tersebut.

“PPM turut melakukan pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan itu mendapati ribuan ubat kapsul pelbagai jenama tanpa sebarang dokumen berkaitan termasuk kebenaran pemilikan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Pajeri berkata pihaknya menahan wanita itu bersama ubat dan barangan lain bagi membantu siasatan mengikut Akta Farmasi 1951.

“Semua ubatan itu berasal dari Filipina dan dipercayai untuk pasaran tempatan secara haram,” katanya.