Cubaan Seludup 1 Tan Gula Gagal, Remaja 18 Tahun Ditahan

Penyeludupan gula bersubsidi sebanyak 1tan yang berjaya dirampas Maritim Malaysia Tawau

Oleh SURAIDAH ROSLAN
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengagalkan cubaan menyeludup keluar gula pasir lebih satu tan (1,000kg) dengan nilai rampasan keseluruhan bernilai hampir RM50,000, di Pulau Sebatik, di sini pada Jumaat.

Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Tawau Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata, pasukan Maritim Malaysia menahan sebuah bot jongkong yang dinaiki seorang remaja lelaki tempatan berusia 18 tahun ketika melakukan rondaan dalam Ops Pluto Timur pada kedudukan kira-kira 1.5 batu nautika dari Sungai Pukol, Pulau Sebatik pada 5.15 petang Jumaat.

”Pemeriksaan awal mendapati bot jongkong yang dinaiki seorang jurangan tempatan itu membawa muatan gula bersubsidi tanpa permit atau dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Bot jongkong yang ditahan ketika membawa muatan 1tan gula untuk diseludup keluar ke negara jiran

”Kami percaya barangan bersubsidi itu cuba diseludup keluar melalui Pulau Sebatik untuk dipasarkan dan dijual di Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Sabtu.

Mohd Yusri berkata, nilai rampasan gula pasir termasuk bot jongkong bersama enjin sangkut itu dianggarkan bernilai hampir RM50,000.

Menurutnya, kesemua barangan rampasan itu dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Tawau untuk siasatan selanjutnya.

Kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mohd Yusri berkata, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan di laut bagi membanteras dan mengurangkan kegiatan jenayah rentas sempadan dan pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia.

Dengan itu, orang ramai disaran menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan salah laku jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Tawau pada talian 089-750116 atau Malaysia Emergency Response System (MERS 999).