Cubaan Pecah Masuk, Pintu Kedai Emas Di Segama Diletupkan

1347

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Cubaan pecah masuk dipercayai sebagai motif mengakibatkan satu letupan kuat berlaku di sebuah kedai emas di Kompleks Segama awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, polis mengesyaki kejadian itu adalah cubaan pecah masuk namun, pihaknya masih menjalankan siasatan tentang motif letupan yang menggegarkan kompleks berkenaan.

“Hasil pemeriksaan tiada sebarang barang yang dilaporkan hilang. Maka, kami syak cubaan pecah masuk kedai emas namun, motif lain kita sedang siasat,” katanya.

Habibi berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam pada 2.45 pagi yang menyatakan ada letupan kuat berlaku di Kompleks Segama. Sebaik tiba dilokasi kejadian, pihak polis mendapati pintu jeriji besi sebuah kedai emas yang berada di tingkat bawah kompleks itu diletupkan.

Unit Pemusnah Bom turut dipanggil bagi menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian. Habibi berkata, pihak polis juga masih belum mengenal pasti jenis bahan letupan yang digunakan bagi meletupkan pintu jeriji besi dihadapan kedai emas berkenaan.

“Jika dilihat ia seperti bahan letupan yang kuat. Ia kerana hanya satu letupan berlaku telah memusnahkan pintu masuk kedai emas berkenaan,” jelasnya.

Menurutnya, pemilik kedai emas itu berada di luar negara dan polis masih menunggu anak pemilik untuk datang membantu memberikan keterangan.

Selain pasukan Unit Pemusnah Bom, polis juga membawa pasukan anjing pengesan bagi melihat kemungkinan suspek masih berada di tempat kejadian. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Akta Bahan Letupan 1957.