Cubaan Najib Jatuhkan Shafie Bukti PN Tergugat Pencalonan PM

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Seperti kehabisan modal, kini pemimpin Barisan Nasional (BN) mengungkit sejarah lama untuk menjatuhkan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Junz Wong berkata, tindakan Datuk Seri Mohd Najib Razak cuba menjatuhkan bekas menteri kabinetnya itu jelas memperlihatkan Perikatan Nasional (PN) tergugat dengan pencalonan Mohd Shafie sebagai Perdana Menteri.

“Sangat memalukan untuk seorang bekas Perdana Menteri merendahkan maruahnya sendiri dengan membuat kenyataan sebegitu.

“Bukan sesuatu yang luar biasa untuk sistem kerajaan menawarkan tender terbuka, tender terhad mahupun projek secara langsung kepada pihak tertentu.

“Persoalan sekarang adalah berapa banyak projek yang diberikan oleh Najib tanpa membuka tender ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dahulu.

“Mungkin dia (Najib) rasa dia layak dan punya kredibiliti untuk menjatuhkan pemimpin lain dengan kenyataan sebegitu.

“Rasanya dia cuba perbodohkan orang ramai dan buat-buat lupa tentang penglibatannya dalam skandal 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Najib yang mendakwa Mohd Shafie antara menteri yang paling banyak meminta tender terhad daripadanya semasa pemerintahan kerajaan BN dahulu.

Dalam portal berita nasional, Najib mendedahkan Mohd Shafie sebagai menteri yang kerap menolak tender terbuka dan memilih tender terhad sewaktu menjadi menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.

Najib mendakwa, apabila dia menolak permohonan Mohd Shafie, bekas menteri berkenaan akan mengirimkan surat rayuan untuk dipertimbangkan semula olehnya.

Turut menyelar kenyataan Najib itu adalah Ketua Penerangan Warisan, Datuk Dr Yusof Yacob.

Yusof berkata, tindakan Pengerusi BN mengungkit kisah dalaman pemimpin BN yang sama-sama menjadi rakan perjuangannya dahulu ternyata hanya ingin menjatuhkan maruah Mohd Shafie.

Katanya, seperti dikatakan Najib, Mohd Shafie meminta tender dengan cara yang betul dan bukannya mencuri duit rakyat tanpa keizinan.

“Melakukan permohonan pada tempat yang betul itu jauh lebih baik daripada mencuri.

“Saya percaya Mohd Shafie tahu batasan, tanggungjawab dan menghormati bosnya. Beliau tidak membelakangi bosnya, sebab itu beliau memohon dengan baik.

“Saya yakin dia memohon bukan untuk dirinya tetapi untuk orang-orang yang meminta bantuan daripadanya, terutama orang-orang UMNO,” ujarnya.

Yusof berkata, sepatutnya apa yang berlaku antara sahabat atau urusan bersama dalam kerajaan dulu tidak perlu diungkit-ungkit.

Tambahnya, Najib cuba membuka aib Presiden Warisan itu namun, beliau lupa tentang aibnya sendiri yang terpalit dengan pelbagai pertuduhan rasuah di mahkamah.