Cubaan Merogol: Bekas Pengawal Dipenjara 13 Tahun, Enam Sebatan

KOTA KINABALU: Bekas pengawal keselamatan sebuah universiti yang cuba merogol seorang pelajar dalam asrama tempat tinggalnya dua tahun lalu, dijatuhkan  hukuman penjara selama 13 tahun.

Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus turut memerintah tertuduh, Arshad Masdin, 30, disebat sebanyak enam kali.

Menurut kertas pendakwaan, tertuduh cuba membuka pakaian dan merogol mangsa yang berusia 18 tahun ketika kejadian pada kira-kira 12.30 tengah malam, 15 Julai 2018 di asrama Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Arshad disabitkan bersalah di bawah Seksyen 376(2)(a)/511 Kanun Keseksaan  yang boleh dikenakan penjara sehingga 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Tinggi.

Ketika prosiding hari ini, peguam tertuduh memohon untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan tetapi ditolak mahkamah.

Arshad diwakili oleh peguam Shalan Jufry, Luqman Szazwan Zabidi dan Mohammad Hafiz manakala Timbalan Pendakwa Raya, Rustam Sanip dan Mas Izatty Lokman di pihak pendakwaan.

Sepanjang tempoh perbicaraan, seramai 22 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil ntuk memberi keterangan.