Cubaan 14 PATI Menyusup Masuk Ke Sabah, Gagal

TAWAU : Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) mematahkan cubaan 14 pendatang asing tanpa izin, PATI warga Indonesia yang cuba menyusup masuk ke negara ini melalui perairan Tawau, petang semalam.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata pasukan Tindak Balas Pantas, Quick Reaction Force, (QRF) yang sedang melaksanakan rondaan Op BENTENG BERSAMA, mengesan sebuah bot laju yang mencurigakan, telah merapat ke kawasan jeti pemunggahan balak di Kampung Hidayat, kira-kira 3.40 petang.

Bot itu kemudiannya beredar secara tergesa-gesa selepas menurunkan kesemua PATI berkenaan.

Menurut Abdul Karim, tiga PATI lelaki cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan QRF, namun berjaya ditahan.

Kesemua 14 PATI terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut.

Pemeriksaan awal mendapati mereka adalah warganegara Indonesia yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, dan terdiri daripada empat lelaki berusia 20 hingga 53 tahun, enam wanita berusia 17 hingga 69 tahun serta tiga kanak-kanak lelaki berusia 3 hingga 9 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun.

PATI terbabit memaklumkan telah menaiki bot yang diatur oleh ejen dari Pulau Sebatik menuju ke Tawau, dan seterusnya akan diambil oleh ejen untuk dihantar ke destinasi yang telah ditetapkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Menurut Abdul Karim, ini kejayaan ketiga ATB 2,  mengagalkan cubaan PATI menyusup masuk ke negara ini, di sepanjang bulan ini, sekaligus membuktikan ATB 2 sentiasa komited memastikan

kesiapsiagaan pasukan berkenaan berada di tahap tertinggi untuk menjamin keselamatan negeri ini khususnya di Pantai Timur, dari sebarang ancaman.