CSR Felda di Sabah, tumpu aspek keselamatan, pendidikan dan kesejahteraan sosial

LAHAD DATU: Aspek keselamatan, pendidikan dan kesejahteraan sosial menjadi antara fokus Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) demi kesejahteraan rakyat Sabah.

Ini memandangkan ketiga-tiga aspek teras berkenaan adalah keperluan utama rakyat di Sabah selain memastikan Negeri Di Bawah Bayu itu bergerak maju seiring negeri-negeri lain.

Pengurus Besar Wilayah, Felda Wilayah Sahabat, Hasrin Ismail berkata selepas insiden pencerobohan pengganas pada 2013 di Tanduo dekat sini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), telah mewujudkan Markas 13 Briged Kem Cenderawasih di Kolej KINI dan Bangunan Annex yang dipinjamkan, sebelum ini.

“Felda sentiasa bekerjasama dengan pasukan keselamatan bagi memastikan insiden seperti pencerobohan pengganas di Tanduo tidak berulang, sekali gus menjamin keselamatan peneroka serta penduduk Sabah amnya,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual sempena Sambutan Hari Peneroka Felda 2020, esok (Selasa).

Selain itu, katanya Felda turut membenarkan ATM membina markas kekal tentera di dalam kawasan seluas lebih 202 hektar di Felda Sahabat, selain menyumbang empat unit motosikal bagi memudahkan ATM membuat rondaan ke kawasan berisiko di sekitar kawasan kampung dan ladang Felda Sahabat.

Dari aspek pendidikan, Hasrin berkata Felda menyalurkan bantuan pendidikan kepada pelajar Tahun 6, Tingkatan 3 serta Tingkatan 5 di sekolah sekitar pantai timur Sabah.

Sejak tahun 2017, beberapa skim pendidikan diwujudkan dengan dana RM384,995 bagi membantu golongan sasar mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran.

Antaranya, Skim Tuisyen Felda, Dana Kecemerlangan Pendidikan Felda, Skim Kecemerlangan Pendidikan Felda, Skim Lonjakan Kecemerlangan Felda dan Pemuafakatan Pendidikan Felda.

Katanya, sejak 2016 sehingga 2019 seramai 1,555 pelajar terlibat dengan inisiatif skim pendidikan oleh Felda itu.

Menurut Hasrin, selain aspek pendidikan, Felda juga menitikberatkan kesejahteraan sosial dan pembangunan rakyat Sabah dengan menyumbang lebih RM18.4 juta sejak 2016.

Antara pembangunan yang dilaksanakan Felda termasuk membina loji air bersih untuk penduduk Kampung Tanjung Labian, pembinaan satu unit tangki imbangan berkapasiti 1.5 mld dan dua unit tangki perkhidmatan untuk kegunaan penduduk Kampung Tanjung Labian, Kampung Lok Buani serta Kampung Tanjung Batu di Lahad Datu dengan nilai projek RM15.8 juta.

“CSR lain termasuk menaik taraf jalan masuk Kampung Murut dan membina jalan baharu di Kampung Pinang, Kalabakan, serta membaik pulih tanah runtuh di kawasan belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana di Lahad Datu serta kerja-kerja membaiki rumah penduduk daif di Sabah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hasrin berharap warga peneroka di Sabah terus mengekalkan semangat kebersamaan dalam segala aspek kehidupan berkomuniti termasuk berkaitan pengurusan ladang.

“Seiring dengan tema sambutan Peneroka Felda 2020 iaitu Peneroka Perintis, Berani dan Suka Cabaran”, peneroka perlu terus maju dan memastikan hasrat menjadi komuniti contoh luar bandar tercapai,” katanya.

Katanya, sejarah keberadaaan Felda di Sabah bermula pada 12 Februari 1979 setelah Felda diminta oleh kerajaan negeri untuk membantu merancakkan pembangunan tanah penempatan luar bandar di negeri itu.

Maka terbentuklah Felda Wilayah Sahabat di tanah seluas 124,389 hektar yang terbahagi kepada gugusan Felda Sahabat di Lahad Datu dan Felda Umas di Kalabakan dengan masing-masing seramai 871 dan 776 peneroka, katanya.