COVID19: KLINIK DI LABUAN JALANI PROSES DISINFEKSI, DOKTOR DAN TIGA STAF DIKUARANTIN

LABUAN, 23 Mac — Sebuah klinik swasta telah menjalani proses disinfeksi manakala seorang doktornya bersama tiga staf lain telah menjalani kuarantin selepas seorang pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik itu didapati positif COVID-19 pada 19 Mac lepas.

Pemilik Klinik Suria Dr Sulaiman Ibrahim berkata ujian ke atasnya dan tiga staf adalah negatif dan mereka kini menunggu keputusan bagi sampel kedua.

“Mesej ringkas yang diviralkan dalam pelbagai platform media sosial, termasuk WhatsApp, adalah separuh sahih… hanya saya dan tiga staf lain sahaja yang dikuarantin. Seorang pesakit ada datang mendapatkan rawatan di klinik ini pada 10 Mac dan hanya berada di klinik selama 15 minit.

“Pada waktu itu, hanya ada tiga pesakit lain di dalam klinik dan kesemua mereka telah menjalani ujian saringan kesihatan di Hospital Labuan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Klinik Suria Labuan lewat petang ini

Dr Sulaiman berkata keputusan pesakit itu yang positif COVID-19 hanya diketahuinya pada 19 Mac dan beliau memutuskan untuk menutup klinik tersebut mulai 19 Mac hingga sekarang.

“Klinik telah didisinfeksi oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Labuan pada pagi 19 Mac dan staf yang ada kontak rapat dengan kes itu telah diambil sampel di Hospital Labuan pada hari sama,” katanya.