COVID: PASARAYA BATARAS LABUAN HAD JUMLAH PELANGGAN

LABUAN: Pasaraya Bataras Labuan mengambil langkah tegas dengan menghadkan jumlah pelanggan hanya 40 orang dibenarkan untuk berbelanja keperluan di premis itu dalam satu-satu masa bagi mengekang rantaian penularan wabak COVID-19.

Langkah drastik itu telah melihat suasana di pasaraya terbesar Labuan itu terkawal berbanding sebelum ini.

Pengurusnya Sapilin Ramlin berkata penguatkuasaan langkah tu telah dimulakan sejak 19 Mac lepas dengan menghadkan seramai 20 pelanggan sebelum dinaikkan kepada 40 orang sejak tiga hari lepas.

“Meskipun langkah ini menerima sedikit sebanyak rungutan dari pelanggan kami, namun ianya demi kebaikan pelanggan sendiri dan kakitangan pasaraya itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Katanya, pengurusan Bataras juga akan menjual penutup hidung dan mulut berharga RM1 di pintu masuk pasaraya itu bermula hari ini bagi memastikan semua pelanggannya yang masuk ke premis memakai peralatan keselamatan itu.

“Berdasarkan tinjauan kami, sejak Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa 18 Mac lepas, hanya 60 peratus pelanggan yang berbelanja di premis kami memakai penutup hidung dan mulut dan selebihnya tidak, ini sudah semestinya memberi risiko lepada pelanggan lain dan kakitangan kami.

“Ingin juga saya kongsikan, permerhatian kami sejak perintah ini berkuatkuasa, lebih 80 peratus pelanggan kami terdiri daripada pelanggan lelaki, dan kakitangan kami sentiasa membantu mereka ini yang kurang pengetahuan dengan senarai perbelanjaan yang diberikan isteri mereka,” katanya.

Sapilin berkata operasi perniagaan Bataras kekal bermula jam 9 pagi hingga 10.30 malam.