COVID: Labuan Wujudkan Lima Lagi Pusat Vaksinasi

LABUAN: Labuan akan mewujudkan lima lagi pusat pemberian vaksin (PPV) bagi mempercepat pelaksanaan vaksinasi dalam usaha mencapai imuniti kelompok menjelang pertengahan bulan Julai.

Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) Labuan Rithuan Ismail berkata pusat vaksinasi baharu yang pertama di Dewan Mutiara, Kolej Matrikulasi Labuan (KML) akan memulakan operasi esok.

Beliau berkata pusat vaksinasi di dewan KML mempunyai kapasiti untuk menginokulasi 1,500 individu sehari selain sejumlah 1,100 inokulasi di pusat sedia ada di dua dewan iaitu di Jabatan Kerja Raya dan Darul Kifayah.

“Kami ingin mempercepat pelaksanaan vaksinasi kepada sekurang-kurangnya 80 peratus daripada jumlah penduduk Labuan bagi mencapai kelompok imuniti pada pertengahan bulan depan dan menjadi yang pertama dalam negara seperti yang diarahkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa,” katanya kepada pemberita di pusat vaksinasi di dewan KML hari ini.

Rithuan berkata empat lagi pusat vaksinasi baharu yang akan beroperasi ialah di Klinik Kesihatan Taman Mutiara dengan kapasiti 300 orang sehari dan ia akan bermula pada Isnin depan manakala tarikh operasi pusat sama di Dewan Utama, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), dewan Jabatan Bomba dan Penyelamat (Balai Rancha-Rancha) serta klinik kesihatan luar bandar Labuan akan ditetapkan dalam masa terdekat dan bergantung kepada kekuatan petugas kesihatan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata jika semua tujuh pusat vaksinasi (termasuk dua yang sedia ada) beroperasi dengan lancar, kapasiti inokulasi harian boleh dipertingkat kepada 5,000 menjadikan jumlah keseluruhan kepada 120,000 dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata pertambahan pusat vaksinasi itu ialah untuk menampung peningkatan dos vaksin COVID-19 sebanyak 30,000 yang dijadualkan tiba di Labuan minggu ini dari Kuala Lumpur.

“Kami akan melipatgandakan usaha untuk menyempurnakan pelaksanaan vaksinasi kepada penduduk tempatan seperti yang dijadualkan sebelum beralih ke fasa berikutnya untuk pekerja sektor berkaitan minyak dan gas (bukan penduduk Labuan) dan pelarian di dua petempatan yang dipersetujui Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) iaitu Kampung Muslim dan Kiamsam,” katanya.

Dr Ismuni berkata pelaksanaan vaksinasi di sini akan melangkaui prosedur biasa melalui kaedah jumpa terus dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), ketua kampung dan persatuan penduduk.

“Pusat vaksinasi baharu di kolej matrikulasi pada Jumaat akan menyaksikan penduduk kampung berhampiran datang secara jumpa terus (melalui pendaftaran secara manual dengan MPP) dan selepas inokulasi dos pertama, petugas kesihatan akan melakukan pendaftaran di MySejahtera untuk mereka,” katanya.

Beliau juga berkata vaksinasi secara pandu lalu akan turut dilaksanakan di dua kawasan parkir yang telah dikenal pasti di Medan Selera Labuan serta Arena Boling Padang Antarabangsa Labuan dan kaedah pandu lalu ini hanya untuk pengambilan dos kedua vaksin.

Pada Isnin lepas, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata kira-kira 30,000 dos vaksin akan dihantar ke Labuan bagi menangani peningkatan jangkitan baru-baru ini di wilayah persekutuan itu.