COVID: Kes Sembuh Meningkat, Kes Baharu Bertambah

PUTRAJAYA: Kes baharu COVID-19 hari ini meningkat kepada 6,517 kes berbanding 6,323 kes semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sebanyak 6,517 kes sembuh turut dicatatkan berbanding 5,337 kes semalam.

“Daripada jumlah kes baharu hari ini, 125 kes atau 1.9 peratus melibatkan kategori tiga, empat dan lima (melibatkan radang paru-paru, bantuan oksigen dan bantuan pernafasan), manakala baki 6,392 kes atau 98.1 peratus lagi adalah daripada kategori satu dan dua (tidak bergejala dan bergejala ringan),” katanya di sidang media mengenai perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata 544 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 269 lagi kes memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, menurutnya sembilan kluster baharu dicatatkan menjadikan jumlah kluster aktif kini 286, manakala nilai kadar kebolehjangkitan atau R-Naught (Rt) negara juga sedikit meningkat kepada 1.0, lebih kurang lima minggu selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata secara umumnya, situasi penularan COVID-19 di Malaysia adalah baik, namun tetap dalam fasa berjaga-jaga bagi memastikan keadaan terus terkawal dan bertambah baik.

Katanya kes harian, kes sembuh dan kes kematian mulai menurun sekitar minggu epidemiologi (ME) ke-36, selaras dengan peningkatan kadar vaksinasi menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), yang bermula 24 Feb lepas.

Dr Noor Hisham berkata sehingga semalam, lebih 75.7 peratus atau 24,730,649 penduduk Malaysia telah menerima dos lengkap vaksin dengan 95.1 peratus atau 22,258,551 daripadanya adalah individu dewasa.

“Vaksinasi COVID-19 secara besar-besaran telah berjaya menurunkan jumlah kes dan kadar kemasukkan ke hospital,” katanya.