COVID: Kes Baharu Kekal Lebih 2,000

KUALA LUMPUR: Kes baharu COVID-19 negara kekal di atas paras 2,000 apabila 2,331 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini 372,859 kes.

Jumlah kes harian itu turun sedikit berbanding 2,551 kes semalam.

Menurut twitter Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Selangor menjadi negeri dengan kes baharu tertinggi hari ini dengan 751 kes, diikuti Sarawak (512) dan Kuala Lumpur (252).

Sejumlah 225 kes direkod di Kelantan, Sabah (163), Pulau Pinang (116), Johor (100), Negeri Sembilan (89), Kedah (45), Perak (42) dan Pahang (20).

Melaka pula mencatat sembilan kes, Putrajaya (empat), Labuan (dua) dan Perlis (satu) manakala tiada kes baharu di Terengganu dalam tempoh 24 jam lepas.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataannya berkata 1,832 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif ialah 352,395 kes.

Lima lagi kematian direkodkan melibatkan warga tempatan berusia antara 61 dan 86 tahun iaitu dua kematian masing-masing di Selangor dan Sabah serta satu di Sarawak menjadikan kumulatif kematian kini 1,370 kes.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan kini berjumlah 19,094 manakala 225 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 92 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata lapan kluster baharu dikenal pasti melibatkan empat kluster tempat kerja, tiga kluster sekolah atau institusi pendidikan dan satu kluster komuniti.

Kluster tempat kerja ialah kluster Jalan Ding Lik Kwong (Sarawak), Jalan Damai Tawau (Sabah), Bukit Quoin (Sabah), Jalan Wawasan Lima (Johor), kluster sekolah atau institusi pendidikan dikenali sebagai Ulu Balingian (Sarawak), Jalan Disa (Sarawak), Jalan Maktab (Selangor) dan kluster komuniti ialah Seri Kuantan (Pahang).