COVID: JKR Labuan Siap Siaga Bantu Bekalkan Keperluan Logistik

LABUAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Persekutuan Labuan sentiasa bersiap sedia memberi kerjasama kepada semua agensi kerajaan lain yang memerlukan bantuan logistik, teknikal dan kejuruteraan dalam menangani pandemik COVID-19.

Pengarahnya Ir. Suhaizad Sulaiman berkata ketika wabak berkenaan meruncing di pulau bebas cukai itu bermula Mac lepas, JKR telah terbabit dalam pelbagai misi bantuan termasuk dalam kerja-kerja mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas.

Katanya, agihan bantuan itu telah memberi manfaat kepada penduduk di 27 kampung.

“Peranan JKR menyediakan bantuan logistik adalah sumbangan murni kepada negara, kami berganding bahu dengan agensi bertanggungjawab yang lain bagi melaksanakan misi bantuan kepada penduduk yang terjejas.

“Kita berharap sumbangan kecil ini memberi manfaat sepenuhnya kepada penduduk di sekitar Labuan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.

Suhaizad berkata, selain mengagihkan bantuan makanan, JKR turut terbabit dalam program Operasi Bersepadu COVID-19 bersama pasukan Polis Marin Labuan, pembinaan hospital medan Labuan, serta menyediakan khidmat bantuan pergerakan untuk penerima vaksin.

Selain itu, katanya jabatan itu turut membantu menyediakan keperluan teknikal kejuruteraan mekanikal dan elektrik di sembilan lokasi sekatan jalan raya sambil menzahirkan penghargaan kepada sukarelawan jabatan yang menjayakan misi bantuan berkenaan.