COVID: Empat Kluster Baharu Diisytihar di Sarawak Hari Ini

KUCHING: Tiga kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti diisytiharkan di Sarawak hari ini, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, salah satu kluster tempat kerja berkenaan ialah Kluster Jalan Johari Sunam di Bintulu melibatkan sebuah pasar raya dengan lima kes positif dikesan hasil saringan ke atas 35 individu.

Dua lagi kluster tempat kerja melibatkan pasar raya iaitu Kluster Kluster Jalan Akses (Sri Aman) dan Kluster Jalan Seringgok di Bau, yang masing-masing merekodkan 13 dan 16 kes positif.

Kluster komuniti pula ialah Kluster Jalan Lembah Hijau di Miri dengan 31 kes positif dikesan melibatkan beberapa buah keluarga yang tinggal di Kampung Lopeng Tengah dan Kampung Wireless.

Selain itu, Kluster Tema Saan di Tebedu dan Kluster Sungai Sengkabang di Sibu diisytiharkan tamat hari ini, setelah tiada kes baharu melibatkan kluster itu direkodkan dalam tempoh 28 hari yang lepas.

Hari ini Sarawak merekodkan 835 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri itu meningkat kepada 89,407 kes, manakala jumlah kematian akibat pandemik itu meningkat kepada 489 orang selepas dua lagi kes kematian dilaporkan hari ini.

Menurut kenyataan itu, daripada jumlah kes baharu yang direkodkan hari ini, 698 kes tidak bergejala, 136 kes bergejala ringan dan satu kes dalam Kategori Lima yang memerlukan bantuan pernafasan.