COVID: Dua Kluster Sumbang Kes Positif Baharu Tertinggi Sarawak

KUCHING: Kluster Tembok Sri Aman dan Kluster Jalan Puncak Borneo menjadi antara punca utama kes positif COVID-19 baharu di Sarawak meningkat hari ini, iaitu masing-masing menyumbang 76 kes dan 47 kes baharu, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Menurutnya hari ini Sarawak merekodkan 489 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 21,448 kes dengan lima kematian baharu, menjadikan jumlah kematian menjangkau kepada 133 orang.

Kes positif yang melibatkan kluster Jalan Puncak Borneo adalah berpunca dari kontak rapat yang telah dikuarantin, manakala kluster Tembok Sri Aman adalah sampel kedua yang telah diambil pada hari ke-10 bagi individu yang dikuarantin dari kluster berkenaan.

JPBN berkata kedua-dua kluster yang berlaku di dalam kawasan penjara itu adalah terkawal dan semua langkah yang diperlukan telah diambil untuk mencegah penyebaran dalam kalangan masyarakat setempat, dengan selebihnya 51 kes positif yang dilaporkan hari ini adalah dari lain-lain kluster aktif.

Hari ini JPBN turut mengisytiharkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Kampung Binyu Lama di daerah Kuching memandangkan keputusan saringan kedua penduduk kampung itu menunjukkan tiada kes positif yang baharu.