COVID: Dua Kematian Baharu di Sarawak

KUCHING: Dua kes kematian akibat COVID-19 dicatatkan di Sarawak hari ini, menjadikan jumlah mereka yang terkorban akibat virus berbahaya itu kini 468 orang.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia melibatkan seorang wanita berusia 22 tahun dari Kuching dan seorang lelaki berusia 57 tahun dari Serian.

Menurut JPBN, sebanyak 573 jangkitan baharu COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif ialah 80,747 kes.

“Daerah Kuching mencatatkan kes baharu tertinggi dengan 261 kes. Selain itu, sebanyak 277 kes telah pulih hari ini dan terdapat 7,152 kes aktif,” menurut kenyataan itu.

JPBN turut memaklumkan terdapat satu kluster baharu COVID-19 iaitu Kluster Sungai Serindak iaitu kluster komuniti melibatkan sebuah rumah panjang di Kilometer 98, Jalan Sibu-Bintulu, Sungai Serindak, Selangau.

“Sejumlah 35 individu disaring dan 19 orang didapati positif termasuk kes indeks, dengan sembilan kes baharu dilaporkan hari ini,” katanya.

Selain itu, terdapat tiga kluster ditamatkan iaitu Kluster Nyelutong di Betong,  Kluster Jalan Sagang di Bau dan Kluster 35 Bintulu di Bintulu manakala jumlah kluster aktif kini ialah 83.

JPBN turut mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti iaitu Kuarters Pekerja di Estet Sungai Kubud, Ladang Keresa di Sebauk (5 hingga 18 Ogos) serta Rumah Engkabang Anak Angang di KM23 Jalan Bintulu-Miri, Kuarters Pekerja Hock Peng Realty dan  Kuarters Pekerja Sim Swee Joo, Jalan Sg Nyigu di Sibu yang bermula 6 hingga 19 Ogos.

Lokaliti lain ialah Kampung Sebat Melayu, Kampung Sebat Baru, Kampung Temaga Melayu dan Kampung Tanah Hitam Sematan di Lundu bermula 7 hingga 20 Ogos dan Rh Pilit, Kampung Kaong Ulu, Undop di Sri Aman bermula 8 hingga 21 Ogos.

Turut diumumkan pelanjutan PKPD di Blok Penempatan Banduan, Penjara Pusat Miri dari 7 hingga 17 Ogos dan Kuarters Pekerja Ladang Pelitanah 1 dan 2 di Dalat dari 8 hingga 14 Ogos.