COVID: 3,297 Kes Baharu, 4,456 Kes Sembuh, Lima Kematian

KUALA LUMPUR: Kes baharu COVID-19 yang direkodkan hari ini meningkat kepada 3,297 kes berbanding 2,461 semalam dengan lima kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 3,291 daripada jumlah kes baharu hari ini adalah penularan dalam negara melibatkan 1,402 warganegara dan 1,889 bukan warganegara manakala enam adalah kes import menjadikan jumlah kumulatif kini adalah 283,569 kes.  

Beliau berkata bagaimanapun kes sembuh yang dicatatkan dalam negara masih tinggi iaitu 4,456 kes menjadikan jumlah kumulatif sembuh adalah 249,209. 

“Sebanyak lima kematian COVID-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif adalah 1,056 kes manakala 209 kes pula dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 91 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan COVID-19.

Dr Noor Hisham berkata kes kematian hari ini melibatkan masing-masing dua kes di  Selangor dan Terengganu serta satu kes di Kuala Lumpur yang berumur antara 29 hingga 82 tahun.

Beliau memaklumkan Perak melaporkan kes harian baharu tertinggi dengan 1,215 kes yang berpunca daripada pertambahan kes bagi Kluster Jalan Changkat Jong iaitu kluster tempat kerja yang melaporkan kes sebanyak 1,046 kes (86.1 peratus), diikuti Selangor (868 kes) dan Johor (431 kes).

Selain itu, sebanyak 124 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen membabitkan Kluster Tembok Tapah dengan 50 kes, Kluster Tembok Bendera (42), Kluster Tembok Sungai Udang (18), Kluster Telok Mas (lima), Kluster Penjara Sungai Jelok (lima), Kluster Tembok Bukit Besi (dua), dan Kluster DTI Sepang 2 (dua).

Mengenai kluster baharu, beliau berkata enam kluster dikenal pasti dengan kesemuanya melibatkan tempat kerja, menjadikan jumlah kluster aktif kini 510. 

Lima daripada kluster baharu dilaporkan di Johor iaitu Jalan Persiaran Cemerlang, Jalan Cemerlang Besi, Jalan Kota Kulai, Jalan Kelapa Mawar dan Jalan Pandan Ria manakala Perusahaan Baru dilaporkan di Pulau Pinang. 

Sebanyak 82 kluster yang mencatatkan pertambahan kes baharu hari ini dengan  kes baharu tertinggi  ialah Kluster Jalan Changkat Jong (1,046 kes), Kluster Industri Selesa (171), dan Kluster Tanjung Suria (97).

Sementara itu, enam kluster dilaporkan tamat hari ini iaitu Kluster Mikro, Kluster Tasik Utama, Kluster Titian, Kluster Tapak Bina Jalan Wangsa, Kluster Kota Road, dan Kluster Tanjung Lumpur, menjadikan jumlah kluster tamat kini 564.