COVID: 2,364 Kes Baharu Hari Ini Dengan 10 Kematian

KUALA LUMPUR: Kes baharu COVID-19 yang direkodkan hari ini meningkat sedikit kepada 2,364 kes berbanding 2,253 semalam dengan 10 lagi kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,363 kes merupakan penularan tempatan manakala bakinya kes import menjadikan jumlah kumulatif kini ialah 298,315 kes.

Beliau berkata kes sembuh yang dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas pula ialah sebanyak 3,320  menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh ialah 270,166. 

“Sebanyak 10 kematian COVID-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif adalah 1,121 kes manakala 190 kes pula dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 99 memerlukan bantuan alat pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19.

Dr Noor Hisham berkata Selangor kekal mencatat kes baharu tertinggi iaitu 862 diikuti Johor (314), Perak (305), Sarawak (255) dan Sabah dengan 157 kes.

Pulau Pinang merekodkan 155 kes diikuti Kuala Lumpur (117), Negeri Sembilan (74) dan Kelantan (68) manakala Kedah dan Melaka masing-masing mencatatkan 17 kes diikuti Terengganu (11), Pahang (lapan), Putrajaya (empat) serta Perlis dan Labuan masing-masing tiada kes.

Mengenai 10 kematian baharu, Dr Noor Hisham berkata lapan kes melibatkan warga tempatan dan bakinya adalah warga asing berumur lingkungan 45 hingga 86 tahun dengan sebahagian besar kes mempunyai penyakit kronik.

Beliau juga berkata lapan lagi kluster baharu dikesan hari ini dengan tujuh daripadanya melibatkan penularan di tempat kerja dan satu penularan dalam komuniti iaitu Kluster Buloh di Sarawak.

Lima kluster di tempat kerja direkodkan di Johor iaitu Kluster Jalan Scientex Jaya, Kluster Jalan Mega Teknologi, Kluster Jalan Permas Sembilan, Kluster Jalan Gemilang Satu dan Kluster Jalan Tampoi serta masing-masing satu di Kelantan (Kluster Kampung Pulau Raja) dan Perak (Kluster Jalan Tasek Avenue).

Dr Noor Hisham berkata dengan pengesanan kluster baharu itu, jumlah keseluruhan kluster kini ialah 1,129 dengan 485 kluster aktif manakala 16 lagi kluster diisytiharkan tamat hari ini.