Covid-19: Tiada Pertambahan Kes Baharu Di Sabah

Oleh ILONA ANDREW
KOTA KINABALU: Sabah tidak mencatatkan sebarang pertambahan kes positif Covid-19 hari ini dan jumlah keseluruhan kes jangkitan kekal sebanyak 285 orang.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming dalam pautan di Facebooknya berkata, terdapat pertambahan lima kes pulih dengan kumulatif seramai 125 orang setakat ini.

Mengikut pecahan, daerah Tawau direkodkan kes positif Covid-19 teramai setakat ini dengan jumlah 79 kes diikuti, Kota Kinabalu (40) dan Lahad Datu (39).

Sabah telah merekodkan empat kes kematian pandemik Covid-19 di mana kes pertama adalah di daerah Tawau pada 25 Mac, diikuti Keningau (5 April) dan dua di Kota Kinabalu masing-masing pada 6 April dan 10 April.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 83 kematian di seluruh Malaysia termasuk satu kes kematian baharu yang dilaporkan hari ini.

Kes kematian ke-83 merupakan lelaki warganegara Malaysia berusia 69 tahun dan mempunyai latar belakang diabetes dan darah tinggi.

Beliau telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 21 Mac dan disahkan meninggalkan dunia pada 15 April pukul 6.41 pagi.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut melaporkan 85 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 5,072 kes di negara ini. Ia termasuk 2,647 kes yang telah pulih, ataupun 52.2 peratus.

Seramai 56 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 32 daripada mereka memerlukan bantuan alat pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut mengesahkan kewujudan kluster baharu di Sendayan, Negeri Sembilan dengan pertambahan satu kes positif baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 40 kes.

Terdapat 28 kluster Covid-19 di Malaysia pada ketika ini, termasuk kluster jemaah tabligh Sri Petaling yang kini adalah kluster terbesar.