Covid-19: Tiada Kes Baharu, Dua Kes Pulih Di Penampang

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah dapat menarik sedikit nafas lega apabila tiada kes positif Covid-19 direkodkan hari ini.

Semalam, Sabah mencatat empat kes baharu di Sandakan termasuklah empat kes baharu pada Khamis lalu.

FRANKIE POON

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata,  jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sabah kekal 410 kes.

Menurut beliau, bilangan kes aktif yang masih dirawat di hospital berpakar seluruh Sabah adalah sebanyak 18, iaitu 10 kes di Sandakan, empat kes di Penampang serta dua kes di Kota Kinabalu.

Sementara itu, Papar dan Beluran masing-masing mencatatkan satu kes.

Beliau berkata, terdapat dua kes pulih dilaporkan di Penampang hari ini menjadikan bilangan kumulatif kes pulih setakat ini sebanyak 384 kes.

Tambahnya, kes kematian di Sabah juga kekal dengan lapan kes, empat kematian di Kota Kinabalu dan satu kematian di Tawau, Penampang, Keningau dan Tambunan.

Di peringkat nasional, Malaysia mencatatkan tujuh kes baharu yang melibatkan enam kes import dan satu kes tempatan menjadikan jumlah kes keseluruhan sebanyak 9,070.

Dalam laporan harian itu, tiada kes kematian Covid dilaporkan hari ini, justeru jumlah kematian akibat wabak itu kekal 125.