Covid-19: Tiada Kes Baharu Di Sabah, Lapan Pulih

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Tiada kes baharu dilaporkan di Sabah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 kekal sebanyak 344 kes.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung memaklumkan, terdapat lapan kes yang dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kes keseluruhan pulih sebanyak 313 kes.

Menurut statistik terbaharu itu, Kota Kinabalu mempunyai kes aktif yang tertinggi iaitu sebanyak tujuh kes diikuti Tawau dan Lahad Datu masing-masing melaporkan empat kes.

Selain itu, Kinabatangan, Tuaran dan Semporna masing-masing merekodkan tiga kes aktif manakala Ranau dan Penampang masing-masing satu kes.

Jumlah korban akibat wabak Covid-19 juga kekal lima kes di mana Kota Kinabalu mencatatkan tiga kes kematian manakala Tawau dan Tambunan masing-masing satu kes.

Laporan harian Covid-19 di Malaysia turut menyaksikan Pahang dan Sabah sering bersaing dari segi jumlah kes dan setakat ini Pahang mencatatkan sebanyak 345 kes manakala Sabah yang merupakan negeri ke-tujuh tertinggi bagi kes Covid-19 merekodkan sebanyak 344 kes.

Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini, hanya 10 kes baharu dilaporkan di Malaysia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 7,629.

Katanya, sebanyak 86 kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang sembuh sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 ialah 6,169.

Tambahnya, sebanyak lapan kes dilaporkan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk empat kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan.