Covid-19: Tawau Catat Satu Kes Baharu

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Setelah sekian lama tidak melaporkan penambahan kes jangkitan positif Covid-19, Tawau hari ini merekodkan satu lagi kes baharu.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung memaklumkan, hanya satu kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sabah sebanyak 344 kes.

Tawau yang merupakan daerah tertinggi bagi kes Covid-19 kini mencatatkan sebanyak 85 kes Covid-19 secara keseluruhannya.

Menurut statistik terbaharu itu, tiada kes pulih dilaporkan manakala kes korban akibat wabak itu juga kekal lima kes.

Walau bagaimanapun, Sabah kini mencatatkan jumlah kes Covid-19 yang sama seperti negeri Pahang.

Dalam perkembangan yang sama, Kuala Lumpur kini merebut tangga pertama bagi kes Covid-19 yang tertinggi di Malaysia dengan 1990 kes manakala Selangor kini berada di tangga kedua dengan 1843 kes, diikuti Negeri Sembilan 793, Johor 671 dan Sarawak 552.

Sementara itu, sebanyak 15 kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia sebanyak 7,619 kes manakala jumlah kes aktif adalah 1,421 kes.

Setakat ini, sebanyak 42 kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang sembuh sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad ialah 6,083 orang.

Manakala sebanyak lapan kes dilaporkan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk empat kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan.