COVID-19, SMK Ranau Cetus Kluster Baharu Di Sabah

KOTA KINABALU : Seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau mencetuskan kluster baharu Covid-19 di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes indeks Kluster Puri Ranau itu dikesan positif selepas menjalani ujian kendiri kerana bergejala.

Beliau yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah berkata ujian pengesahan Covid-19 telah dijalankan di mana kes didapati positif.

“Saringan terhadap rakan sekelas serta sebilik kes indeks telah dijalankan dengan enam orang lagi didapati positif.

“Kesemua pelajar perempuan terbabit berada dalam kategori satu dan dua sahaja dan telah diasing serta diberi rawatan yang sesuai,” katanya hari ini.

Sabtu lalu, SMK Tambunan turut mencetuskan kluster baharu, Kluster Jalan Kepayan Lama di mana lebih 30 pelajar disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, Masidi berkata, jumlah kes harian di Sabah kembali melepasi angka 200 dengan 201 kes positif baharu dicatatkan, hari ini, pertambahan 38 kes berbanding 163 kes semalam.

Menurut beliau, daripada 201 jumlah kes positif baharu hari ini, 196 kes berada dalam kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan, empat kes dalam kategori tiga (radang paru-paru tetapi tidak memerlukan bantuan oksigen)
dan satu lagi kes dalam kategori empat (jangkitan paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen).