COVID-19: Semporna, Kalabakan Keluar Zon Merah

KOTA KINABALU: Walaupun trend kes positif Covid-19 di Sabah masih seperti yo-yo namun, daerah-daerah di negeri ini mula keluar daripada zon merah.

Sehingga kini, dua daerah sudah berada dalam zon kuning iaitu Kalabakan dan zon jingga iaitu Semporna.

Situasi ini menunjukkan kadar laporan kes harian di kedua-dua daerah tersebut semakin menurun.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, semalam Sabah melaporkan 549 kes positif berbanding 393 kes pada Isnin.

Kes kematian dilaporkan semalam sebanyak empat kes iaitu dua kematian di Keningau dan dua di Tawau.

Beliau berkata, semalam hampir semua daerah mencatatkan jumlah kes yang lebih tinggi daripada
sebelumnya.

Semalam, Kota Kinabalu merekodkan 63 kes positif diikuti Kota Belud 58 kes, Beaufort 52 kes, Kota Marudu 44 kes dan Kudat 36 kes.

Sebanyak 16 daerah mencatatkan peningkatan kes dengan lapan (8) daripadanya mencatatkan peningkatan ketara iaitu Beaufort (peningkatan 32 kes), Kudat (peningkatan 19 kes), Kota Belud (peningkatan 18 kes), Kota Marudu (peningkatan 18 kes), Tenom (peningkatan 17 kes), Kinabatangan (peningkatan 17 kes), Pitas (peningkatan 13 kes), Lahad Datu (peningkatan 12 kes) dan Ranau (peningkatan 11 kes).

Beliau berkata, daripada 549 kes yang dicatatkan semalam, 155 kes adalah kes-kes yang didaftar lewat dua hari atau lebih selepas keputusan saringan diketahui. Kes-kes baharu yang berlaku dan didaftar dalam tempoh 24 jam yang lalu berjumlah 394 kes daripada jumlah
keseluruhan.

Daripada 549 kes dilaporkan semalam, 371 kes membabitkan individu yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19 dan 78 kes melibatkan individu belum divaksin dan 90 kes bagi individu yang belum layak divaksin iaitu mereka yang berusia 12 tahun ke bawah. Hanya 10 kes membabitkan individy yang sudah menerima dos pertama.

Tambahnya, seluruh Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19
yang tidak statik dengan jumlah catatan sebanyak 291 kes daripada saringan kontak
rapat maka, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan.