COVID-19: SEMBILAN PENGENDALI PERNIAGAAN DI LABUAN DIBERIKAN NOTIS AMARAN

LABUAN: Sembilan pengendali perniagaan di pulau bebas cukai ini, kebanyakannya kedai makan diberikan notis amaran semalam kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Bernama melaporkan pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari sebagai berkata premis ini merupakan antara 40 premis perniagaan yang diperiksa dalam operasi bersepadu empat jam SOP COVID-19 sehingga pukul 11 malam tadi.

Beliau berkata sejumlah 47 peringatan juga dikeluarkan kepada pengendali perniagaan dan individu kerana tidak mematuhi sepenuhnya SOP, termasuk penjarakan sosial di dalam premis mereka, ketiadaan alat pengukur suhu badan, tidak memakai pelitup muka dan ketiadaan paparan Kod  Respon Pantas aplikasi MySejahtera.

“Operasi kami dengan kerjasama polis, Majlis Keselamatan Negara (MKN) ke atas semua premis perniagaan dipertingkatkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berakhir pada 31 Ogos ini, katanya kepada Bernama hari ini.

Dr Ismuni berkata sepanjang operasi malam tadi, kadar pematuhan PKPP terutamanya  di pusat bandar masih lagi di paras sederhana.

“Kami tidak menafikan masih ada premis perniagaan seperti restoran, dan kedai runcit masih tidak mematuhi norma baharu dalam menjalankan perniagaan dan SOP COVID-19 iaitu penjarakan sosial tidak dipedulikan,” katanya.